Garis panduan terbaru yang diperkenalkan Pas dalam muktamar tahunannya November ini di mana calon bertanding boleh mempromosi diri, dianggap "baru dan ganjil" oleh Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi.
Bercakap dalam wawancara khas bersama Sinar Harian, Nasrudin mengakui, beliau kurang selesa dengan pendekatan tersebut sebaliknya lebih memilih untuk bersikap 'low profile'.
"Ia agak baru dan ganjil. Selama ini kita, walaupun saya sebut tadi berlumba-lumba untuk mencari kebaikan, saya tak tahu orang lain, tetapi pada diri saya, belum sampai lagi tergamak untuk mempromosi diri sendiri.
"Setakat menyatakan kesediaan, sudah cukup. Maka perwakilan nilai lah melalui 'track record' kita... prestasi kita. Bagi saya, saya kurang selesa," ujar beliau yang juga ahli Parlimen Temerloh.
Persoalan itu diajukan sehari selepas Jawatankuasa Pemilihan Pas mengumumkan garis panduan yang telah ditetapkan dalam pemilihan kali ini yang akan berlangsung pada 21 November depan.
Pengarah jawatankuasa itu ketika membuat pengumuman menyatakan, pemilihan kali ini berbeza dengan sebelumnya apabila calon-calon yang bertanding dibenarkan berkempen secara bersendirian mahupun kumpulan.
Bagaimanapun, calon-calon tersebut tetap terikat dengan sekatan-sekatan dan larangan sewaktu mempromosikan diri seperti yang digariskan di dalam buku panduan dan kod etika berkempen.
“Sebelum ini tiada garis panduan... tegahan tiada suruhan pun tiada," kata Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi.