Rabu, 13 November 2013

Bersetujukah khalayak dengan pendapat dua pakar Bahasa Melayu?

Kajian menunjukkan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah dihadam jika diajarkan dalam bahasa ibunda, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Beliau berkata gedung khazanah bahasa Melayu sebenarnya cukup kaya dan mampu menjadi medium penyebaran maklumat dan ilmu.

"Potensi bahasa Melayu untuk menjadi bahasa dunia khususnya dalam sektor ekonomi adalah tidak mustahil.

"Bahasa Melayu hanya berhadapan dengan krisis keyakinan dalam kalangan para penggunanya dek keterbatasan kosa kata untuk mengungkap perkembangan tamadun dunia yang berasaskan sains dan teknologi," katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Seminar dua hari bertemakan 'Bahasa Melayu Bahasa Negara Bangsa' itu anjuran bersama UPM dan DBP.

Dalam sidang akhbar kemudian, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan turut sependapat dengan Mohd Fauzi bahawa banyak kajian mendapati ilmu lebih mudah diterima jika diajar dalam bahasa ibunda.

"Salah satu kajian dilaksanakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco)," katanya.

Terdahulu, Awang ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk 'Strategi Menjayakan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Negara Bangsa' berkata usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua peringkat warganegara.

"Bahasa kebangsaan, seperti diungkapkan Perdana Menteri pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman Putra Alhaj sebagai roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan.

"Ini kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri," katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaan supaya sains dan matematik diajar dalam Bahasa Inggeris agar golongan muda negara ini tidak ketinggalan dalam menguasai pelbagai ilmu ekoran perkembangan pesat kedua-dua bidang tersebut. - Bernama

4 ulasan:

  1. berapa banyak buku terkini yg dalam BM? Internet pun boleh kata 99% BI.

    BalasPadam
  2. semua nak mudah.nampak sangat pemalas,apa salahnye belajar bahasa inggeris.kalau setakat tau bahasa melayu je sampai bila la nak maju.

    BalasPadam
  3. kalau semua nak mudah sampai bila la nak maju.apa salahnye belajar 2 atau 3 bahasa.lagipun bahasa inggeris itu memudahkan kita berhubung dgn orang luar dan ia juga bahasa penting untuk pembelajaran

    BalasPadam
  4. dulu bila dbb nak jadi pakar sains depa cipta perkataan maging untuk haiwan makan daging, maun untuk mkan daun dan macerba untuk makan daging dan daun. lepas tu pandai pula pinjam perkataan karnivor, herbivor dan omnivor. pinjam bahasa inggeris juga....

    BalasPadam