Apabila pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya didakwa mengeluarkan 'ucapan rasis' pada 12 Ogos 2010 ketika mengulas masalah disiplin pelajar - seluruh media alternatif dan penyokong totok mereka akan menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Dipindahkan ke sekolah tidak mencukupi, beliau seharusnya dipecat dan dijadikan contoh teladan.
Apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristina pada bulan Julai 2013 makan di tandas semasa bulan ramadhan, sekali lagi seluruh media alternatif dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB Pengetua digodam. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.
Namun, apabila Ahli Jemaah SJKC Nan Ya di Johor pada minggu lepas memaksa seorang guru muallaf berbangsa Cina untuk membuka tudungnya atau akan diambil tindakan keras, semua pihak tersebut diam seribu bahasa. Malah, setelah guru tersebut melaporkan pada polis, guru tersebut pula yang dipindahkan sedangkan Ahli Jemaah bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin.
Apabila ada pihak mahu membangkitkan isu tudung ini dan menuntut keadilan, dikatakan pula kita masyarakat majmuk, jangan digembar-gemburkan isu ini. Apabila kita mahu menjaga izzah dan maruah wanita muslimah tersebut, dikatakan pula kita siasat dulu, mungkin ada Ahli Jemaah SJKC Cina itu tidak faham agama Islam. Apabila ada pihak mahu tindakan tegas harus diambil terhadap ahli jemaah sekolah, dikatakan pula isu ini perkara kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yg lebih meruncing.
Ya Allah, mengapakah begitu selektif sekali golongan ini? Di manakah sebenarnya sensitiviti umat ini? Di manakah sebenarnya maruah dan ghairah umat ini untuk mempertahankan kemuliaan agama tercinta ini? Sudah begitu buta politikkah kita sehingga isu umat Islam tiada langsung di dalam agenda kecuali apabila menguntungkan tujuan politik untuk menjatuhkan parti lawan?
Sudah lupakah peristiwa di pasar emas Bani Qainuqa? Sudah lupakah kisah Khalifah Abu Ishaq Al-Mu'tasim?
Wahai umat Islam, sedarlah akan kemuliaan agama yang tercinta ini. Takutilah ancaman Allah dan janganlah kita termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Allah untuk digantikan seperti dalam Firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.” Al-Maidah:54
Kepada Allah kita berserah.
Wallahua'lam.
Megat A Rithauddeen
Aktivis ISMA