Jumaat, 21 Februari 2014

Isu Air:  PR Buat Agihan Terpilih Untuk Jatuhkan Khalid?

 
Isu air di Selangor semakin meruncing sepertimana amaran pakar beberapa tahun sebelum ini.  Ia berpunca dari kedegilan kerajaan PR Selangor untuk menerima penyelesaian melalui Loji Rawatan Langat 2 mengikut tempoh perancangan asal kerajaan pusat.  Projek yang melibatkan negeri Selangor-Pahang itu dilaporkan selesai lebih 80%, namun, kerja-kerja di Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2014 belum pun bermula lagi disebabkan permainan politik PR. 
 
Setakat Januari 2014, kedua-dua syarikat, Puncak Niaga dan Kumpulan Peransang telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima tawaran KDEB untuk mengambil alih aset air mereka.  Manakala, Gamuda Bhd, yang merupakan pemegang konsesi lain yang terlibat dalam isu ini tidak dapat membuat keputusan terhadap tawaran sebelumnya oleh KDEB sementara menunggu beberapa isu yang telah dibangkitkan pada 4 Disember lalu.
 
Tawaran pengambilalihan bernilai RM9.65 bilion itu dibentangkan oleh kerajaan negeri kepada syarikat konsesi pada 21 November 2013 adalah hampir sama dengan yang telah ditolak sebelum ini.  Sekali gus memperlihatkan bahawa segala penangguhan dalam isu ini adalah sia-sia belaka.
 
Dalam keadaan di mana rakyat begitu tertekan dengan masalah ketiadaan air, pemimpin PR di negeri ini masih terus berpolitik.  Malah, terdengar cakap-cakap di kedai kopi bahawa krisis air ini turut dijadikan 'modal' politik dalam perebutan jawatan Menteri Besar di antara pemimpin PR. 
 
Dalam hal ini, maka Khalid Ibrahim pastinya menjadi sasaran paling tepat untuk dipersalahkan.  Apatah lagi dengan kenyataan-kenyataan Khalid mengenai isu air sebelum ini telah meletakkan dirinya sebagai seorang yang perlu bertanggungjawab 100%. 
 
Antaranya ialah laporan oleh Malaysia Chronicle pada  11 September 2013 di mana beliau berjanji bahawa,  "penyusunan industri air di negeri ini yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun akan diselesaikan sebelum 31 Disember ini."
 
Malaysian Insider pada 10 Disember 2013 juga melaporkan seperti berikut:
"Walaupun syarikat konsesi air di Selangor menolak tawaran RM9.65 billion daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan ia diambil alih, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tetap optimis untuk melaksanakannya.  Khalid berkata, beliau yakin penstrukturan semula industri air di Selangor akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat".
Namun, apa yang berlaku ialah ia masih lagi belum selesai dan rakyat semakin tertekan sedangkan pemimpin-pemimpin PR negeri terus bertelagah sesama sendiri.  Lebih malang lagi apabila seluruh tumpuan pemimpin Selangor kini diarahkan kepada PRK Kajang dan tiada siapa pun nampaknya yang prihatin dengan nasib rakyat Selangor dalam menghadapi krisis air. 
 
Dalam pertelagahan ini, yang menjadi taruhan tentulah jawatan Khalid Ibrahim.  Seperti yang kita tahu, Anwar Ibrahim adalah antara salah seorang pemimpin PR yang sedang 'bersedia' untuk mengambil alih jawatan MB dari Khalid Ibrahim. 
 
Justeru, adalah tidak mustahil bahawa di sebalik masalah 'teknikal' berikutan kedegilan kerajaan PR Selangor mengenai isu air, terdapat juga masalah 'politikal' yang menambahkan lagi kekusutan.   Desas-desus kedengaran bahawa terdapat sabotaj di kalangan PR sendiri untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim melalui isu air iaitu dengan cara membuat agihan bantuan bekalan secara terpilih sekadar untuk menaikkan kemarahan rakyat. 
 
Semakin rakyat tertekan dengan masalah air, semakin beranglah mereka terhadap kerajaan negeri dan semakin mudahlah kerja pihak yang ingin menjatuhkan Menteri Besar.
 
Dalam satu sessi dialog dengan Exco Selangor, YB Dr. Yaakob Sapari di kediaman MB Selangor pada 6 Ogos 2012, Anwar dengan yakin sekali menyatakan bahawa 'isu air boleh selesai' dan satu-satunya cara penyelesaian ialah dengan meletakkan PR di Putrajaya.
 
Dan 'keyakinan' Anwar itulah yang menghairankan kita. 
 
Krisis air adalah masalah kerajaan negeri dengan syarikat konsesi yang berpunca dari kedegilan pihak kerajaan negeri.  Justeru, seorang Menteri Besar sahaja sepatutnya mampu menyelesaikannya tanpa perlu menjadi Perdana Menteri.  Anwar pasti tahu perkara ini tetapi mungkin sengaja membiarkan krisis berlarutan kerana yang akan dipersalahkan bukan dirinya, tetapi Khalid Ibrahim. 
 
Jika teori ini benar, maka ini bermakna bahawa PRK Kajang bukan sahaja membazir tetapi merupakan pilihanraya yang benar-benar menganiaya rakyat demi keuntungan politik seorang individu iaitu Anwar Ibrahim. 


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.