Isnin, 31 Mac 2014
Oleh : Allahyarham Tan Sri Dato' Mohd Asri Haji Muda [Presiden PAS ke-3]
Suasana dalam organisasi PAS menjelang muktamar tahunan atau mesyuarat agung PAS yang ke 28 itu sudan begitu gawat, dan seperti yang dinyatakan, hubungan ukhwah antara pimpinan sudah menunjukkan wajah yang muram. Keberkesanan pimpinan sudah mulai luntur. Pada ketika itulah Muktamar Tahunan PAS yang ke 28 diadakan. Muktamar tahunan itu diadakan pada 6 Muharram 1403 Hijrah bersamaan 23 Oktober 1982, di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Maka Balai Seminar DBP telah mencatatkan suatu kejadian yang amat dikesalkan dan begitu memalukan, betapa ucapan saya sebagai Yang Dipertua Agung telah tidak diterima oleh muktamar. Sebenarnya kejadian seperti ini belum pernah berlaku dalam sejarah sekurang-kurangnya sejarah parti-parti besar di Malaysia baik PAS sendiri mahupun UMNO. Mungkin ia merupakan satu cara untuk menunjukkan kebencian kepada saya sebagai pemimpin ketika itu,tanpa menyedari bahawa langkah yang tidak wajar dan tidak sopan itu akan menjejaskan kewibawaan parti itu sendiri. Apatah lagi apabila ditokok pula oleh suasana muktamar yang dipenuhi dengan gambar-gambar tokoh revolusi Iran dan pekikkan dan laungan yang menganggu ucapan. Malah pekikkan Marakbar Asri berselang seli dengan kalimah suci ALLAH UAKHBAR. Ketika itu banyak orang yang tahu makna 'marakbar Asri' yang bererti 'mampuslah Asri' iaitu pekikkan yang sering diucapkan oleh Iran dengan kalimah 'marakbar Amerika'. Saya mencatatkan peristiwa ini hanyalah sekadar untuk kenangan sejarah bagi generasi akan datang.
Menyedari hal yang sedemikianlah, maka sebelum muktamar tersebut saya memaklumkan kepada beberapa ahli jawatankuasa agung bahawa saya tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan saya sebagai Yang Dipertua Agung dan saya bersedia mengundur diri daripada bertanding dalam muktamar tahunan akan datang dan pemilihan pimpinan dan ahli jawatankuasa agung dilakukan. Akan tetapi segala-galanya berubah, suasana dan keadaan telah berlainan.
Ucapan dasar saya itu disusun seperti biasa dengan terlebih dahulu menyentuh hal-hal yang berlaki di luar negeri terutamanya dunia Islam, kemudian barulah perkara rumah tangga parti sendiri. Ulasan politik dalam negeri diberi ruangan yang agak lebih. Ada baiknya dibawah ini disebutkan sebahagian daripada ucapan itu.
"Semenjak kerajaan dibawah pimpinan Dr. Mahathir ini ditubuhkan, banyak langkah-langkah yang penuh sensasi telah diambil, antaranya ialah perubahan wakti, sistem perakam waktu kerja, memakai nama di baju, sistem 3M bersekali dengan KBSR, pengistiharan harta bagi pegawai-pegawai kerajaan, pengambilan alih Guthrie, memandang ke Timur, Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan beberapa langkah lain. Kita akui bahawa langkah-langkah tersebut memang mnarik dan seperti perkara-perkara lain yang penuh sensasi ia mudah memikat minat dan hati rakyat. Oleh yang demikian langkah-langkah perlulah diambil bagi mengkaji bagaimana dan sejauh mana kesannya dan apakah ia bersifat propaganda semata-mata atau sesuatu yang baik."
Tentang dasar pandang ke Timur, ucapan saya memberikan pandangan yang agak panjang sedikit. Antara lain ialah :
"Kejayaan kedua-dua negara Timur ini nampaknya oleh kerajaan diletakkan atas beberapa faktor iaitu etika kerja, sistem teknologi yang cekap atau efficient dan sikap espirit de corps seperti yang diamalkan oleh negara tersebut. Sikap seperti itu mungkin mempunyai beberapa aspek yang baik dan positif; akan tetapi kita mesti arif bahawa mentaliti, teknologi dan kecekapan semata-mata tidak semestinya menjamin produktiviti dan dinamisme. Kemajuan ekonomi rakyat dan negara akan berkembang dari tahap ke tahap mengikut keupayaan rayat dan negara itu sendiri. Segenap anggota dan pancaindera masyarakat dan semua prasarana kemanusiaan, ekonomi dan perdagangan hendaklah dibina.Kekayaan yang ada pada sesebuah negara kita ini hanya menjadi suatu bahan yang manfaatnya boleh dilipat gandakan dengan teknologi dan pengurusan yang cekap serta ciri dinamis yang ada pada rakyat itu sendiri. Jalan senang kepada matlamat itu tidaklah semudah itu dapat dimodelkan kepada mana-mana contoh yang lain oleh kerana asas setiap masyarakat berbeza. Rakyat Jepun mempunyai sifat-sifat tertentu sebagai sebuah masyarakat 'Kaum Tunggal' dan negara serta rakyatnya pernah memenangi peperangan besar dan mengalami kekalahan ketenteraan yang amat memalukan. Sebelum Perang Dunia Kedua mereka bangkit dengan psikologi perang dan hasrat untuk menubuhkan empayar. Selepas perang mereka bangkit untuk menebus kekalahan tenteranya dengan kejayaan ekonominya di pasaran dunia. Motif seperti ini menjadi tenaga penggerak yang dinamis. Maka dalam suasana seperti itu, etika kerja, kecekapan dan teknologi hanya menjadi cara dan alat semata-mata, bukannya matlamat. Jalan senang untuk mencapai kemajuan ekonomi dengan cara meniru Jepun dan Korea itu mungkin juga boleh membawa akibat yang menjejaskan perkembangan kemajuan ekonomi dan kebebasan perdagangan negara dan rakyat yang sihat"
Seterusnya ucapan dasar saya menyentuh beberapa perkara lagi dan antaranya :
"Isu Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa adalah antara isu besar yang nampaknya dicanangkan dengan agak gempita di seluruh negara tidaklah seharusnya menyebabkan kita terperanjat dan rasa terpesona. Kita juga tidak boleh bersikap negatif. Kita tidak boleh terpesona lalu merasa rendah diri seolah-olah peranan PAS sudah tidak penting lagi, seolah-olah gelanggang untuk perjuangan PAS dan pentas pidato PAS telah diambil alih oleh UMNO dan kerana itu pula nasib masa depan PAS jadi muram dan kita tidak perlu lagi aktif, tidak perlu lagi bekerja keras. Anggapan seperti ini biarlah tumbuh meliar di kalangan orang-orang luar daripada kalangan kita. Dalam pada itu kita tidak boleh sama sekali bersikap negatif dengan memandang sepi dan buruk belaka pada apa saja yang dilakukan oleh orang lain. Seolah-olah baik semuanya daripada kita dan orang lain semua buruk dan tidak betul belaka. Sudah seharusnyalah semua anggapan dan tanggapan kita kepada semua masalah hendaklah objektif dan jujur sejajar dengan tugas kita berjuang untuk mencapai kebenaran dan menghayati ajaran Islam. Kita alu-alukan hasrat mana-mana pihak pun sekiranya mereka benar-benar hendak menjadikan partinya sebuah parti Islam yang memperjuangkan cita-cita untuk tegaknya kedaulatan Islam di negara ini."
Demikian secebis sedutan daripada teks ucapan dasar, yang saya kira cukup untuk mencari dari sudut manakah makanya ucapan saya itu tidak diterima langsung oleh Muktamar PAS tersebut.
Artikel ini dipetik dari : Memoir Politik Asri : Menitis Arus yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993
Read more: http://penaminangreturn.blogspot.com/2014/03/presiden-pas-ketiga-adalah-presiden-pas.html#ixzz2xUzv5XaY
Follow us: @penaminang on Twitter | penaminangfanpage on Facebook
--
Pena Minang Return
E-mail/Yahoo messenger : penaminangreturn@gmail.com
blog : penaminangreturn.blogspot.com
facebook : facebook.com/penaminang
facebook fan page : facebook.com/penaminangfanpage
twitter : twitter.com/penaminang