Katanya, sewajarnya rakyat mengambil iktibar dengan pelbagai perkara yang membabitkan PKR termasuklah dalam melaksanakan pemilhan mereka kerana tentunya ia akan menjadi kayu ukur untuk memilih pemimpin negara kelak.
“Apa lagi yang boleh kita harapkan kepada parti PKR jika pemilihan dalam pucuk pimpinan mereka pun diperkatakan sedangkan selama ini rakyat telah sedia maklum dengan pelbagai perkara yang banyak tidak beres membabitkan mereka sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.
Jawatankuasa Pemilihan PKR yang dipengerusikan Datuk Johari Abdul telah menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti itu dengan minggu pertama diadakan pada 25 hingga 27 April melibatkan Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Namun demikian, dilaporkan terdapat serbuan di sebuah bilik di Hotel Seng Chong, Simunjan Sarawak yang telah dijadikan tempat membuat undi untuk pemimpin tertentu apabila ada individu dipercayai telah memangkah kertas-kertas undi dan dimasukkan kedalam sebuah kotak terbabit.
Terdapat juga laporan yang mengatakan ada pemimpin parti yang didakwa menghalang ahli PKR daripada mengundi dalam pemilihan di cabang Kuantan.
“Inilah PKR, dari sejak penubuhannya hinggalah ke hari ini ada-ada sahaja perkara yang menunjukkan ketidaktelusan mereka. Tidak apa perkara yang berlangsung lancar, baik dari segi organisasinya, pengurusannya, pentadbiran dari akar umbi hinggalah ke peringkat pusat dan macam-macam lagi.
“Jika mahu dinilai, apa yang ada dalam PKR itu sendiri telah menunjukkan bagaimana corak organisasi dan perntadbirannya misalnya berlaku persaingan dikalangan anggota keluarga, pertandingan laki bini, pertelagahan antara pemimpin tertentu selain pelbagai masalah dalaman yang gagal memberikan jawapan positif.”
Justeru katanya, jika hal-hal dalaman parti sedemikian pun gagal ditangani maka bagaimana mungkin untuk PKR mampu menjadi parti politik yang baik dan menerajui pentadbiran negara.
“Kepincangan dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR ini pun bukan kali pertama berlaku malah setiap kali adanya pemilihan PKR maka macam-macam cerita yang berlegar dan kesemuanya membabitkan hal-hal negatif.”
Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan presiden tetapi kemudiannya menarik diri dan jawatan Presiden menang tanpa bertanding yang mana mengulangi pemilihan 2007 apabila Anwar bertanding bersama Wan Azizah dan Rahman Othman untuk jawatan Presiden tetapi kemudiannya Anwar menarik diri yang diikuti oleh Rahman dengan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Wan Azizah.
Dalam pemilihan terbabit juga berlaku pengiraan kertas undi yang meragukan lantaran jumlah kertas undi yang melebihi jumlah perwakilan namun kemudiannya didiamkan.
Untuk pemilihan 2014, pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR berlangsung sengit apabila keputusan pengundian di Kelantan dikatakan menyebelahi penyandangnya, Mohamed Azmin Ali yang mendahului dua calon lain iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Pengundian pemilihan pucuk pimpinan PKR akan berlangsung di Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei dan seterusnya melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.
Keputusan undian akan diketahui selewat-lewatnya jam 5 petang sebaik proses pengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei.