Satu Perundingan Meja Bulat yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Muslim UPRo telah diadakan pada 29 Oktober yang lalu di Dewan Tun Rahah, Memorial Tun Abdul Razak. Antara yang hadir di dalam perbincangan tersebut adalah PEMBELA, MUAFAKAT, IKPIM, PKPIM, IKATAN, HUNAFA, ACCIN, MAIWP DAN JAWI.
Perundingan Meja Bulat ini membincangkan tentang tuntutan COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process) untuk dibentangkan di dalam UPR (Semakan Berkala Sejagat) pada 24 Oktober di Geneva.
Di dalam majlis tersebut, Saudara Azril Mohd Amin, Naib Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang merangkap Ketua Delegasi MuslimUPRo ke Geneva telah menyampaikan taklimat tentang latar belakang UPR dan tuntutan-tuntutan yang dicanang oleh COMANGO.
COMANGO (Coalition of Malaysian NGO) merupakan pertubuhan-pertubuhan yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang Hak Asasi Manusia ini terdiri daripada 54 NGO yang tidak sah seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), SIS Forum (Sister in Islam) dan Merdeka Seksualiti.
“Malaysia seharusnya berhati-hati dengan tuntutan golongan yang memperjuangkan hak asasi ini. Dari segi sejarahnya, hak asasi ini muncul daripada negara-negara barat yang mengalami trauma contohnya kesan Perang Dunia Pertama. Latar belakang Hak Asasi Manusia (HAM) ini bersifat sekular dan menonjolkan sifat hipokrasi negara barat”, ujar Azril.
Antara tuntutan yang disenaraikan oleh COMANGO ini adalah penghapusan Undang-undang Jenayah Syariah, hak murtad kepada orang Islam, dan kebenaran mengamalkan seks songsang LGBT.
“Kerajaan tidak seharusnya tunduk dengan tuntutan COMANGO yang berdiri atas entiti Hak Asasi Manusia ini. Ini kerana tuntutan-tuntutan ini jelas bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kedaulatan negara,” kata beliau.
Satu resolusi telah dipersetujui dalam perundingan ini dan akan dibentangkan dalam Wacana Pemantapan Akidah : Mendepani Ancaman Liberalisme dan Syiah pada 2 Oktober 2013 di Dewan Muktamar, Pusat Islam. Resolusi akan dibawa sebagai memorandum kepada kerajaan.
Maklumat terperinci boleh rujuk di https://www.facebook.com/muslimupro?fref=ts