Jumaat, 12 September 2014

Lima kilang makanan diarah tutup



Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 11 Sept. - Meskipun selepas beberapa kali serbuan dilakukan Jabatan Kesihatan negeri, namun masih ada pengusaha kedai makan yang tidak mengendahkan aspek kebersihan di premis mereka.

Terbaharu dalam operasi jabatan itu kelmarin, terdapat pengusaha kedai makan membiarkan premis mereka dalam keadaan menjijikkan, antaranya melonggokkan bahan mentah di hadapan tandas, selain terdapat najis tikus dalam guni tepung.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, pihaknya telah mengarahkan lima kilang makanan di negeri ini ditutup serta-merta kerana kerana gagal mematuhi peraturan kesihatan.

"Premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagiw," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, premis terlibat ialah kilang kicap, kilang mi, kilang roti, kilang bawang goreng dan kilang kerepek yang beroperasi di sekitar Jelutong, Kepala Batas dan Bukit Mertajam dekat sini.

Tambahnya, sebanyak 16 premis diperiksa iaitu masing-masing dua buah di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara, Barat Daya (3), Seberang Perai Tengah (5) dan Seberang Perai Selatan (4).

Menurut Ku Nafishah, kesalahan lain yang dikesan pihaknya dalam operasi itu adalah pengusaha menggunakan peralatan mengadun dan menggoreng makanan yang berkarat, selain dibiar melekit, dipercayai tidak dibasuh secara berjadual.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan tiga notis saman berjumlah RM5,000 atas kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 2009 dan akan meneruskan operasi seumpama itu termasuk di kantin-kantin kilang di negeri ini.

Jelasnya, segelintir pengusaha sedar kesalahan itu, namun mengambil mudah perkara seumpama ini dan lebih cenderung mengambil sikap menunggu tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278.

Visit website