Khamis, 21 Mei 2015

Krisis Najib vs Mahathir : Tangani isu secara berhemah.



Hari ini politik tanah air berhadapan dengan krisis hangat yang dicetuskan oleh mantan perdana menteri kita tak lain dan tak bukan Tun  Mahathir.

Tun pada mulanya mengkritik pentadbiran perdana menteri dan akhirnya menyerang secara peribadi terhadap perdana menteri, isteri dan keluarga.

Tun juga mempertikai akan kekayaan Najib sehingga menyentuh isu perkahwinan anak perempuan Najib baru-baru ini.

Paling panas ialah apabila Tun mempertikai tentang 1MDB dan isu pembelian tanah oleh Tabung Haji sehari sebelum tarikh pembuangan undi di PRK P44. Serangan tersebut dilakukan oleh blogger yang pro Tun Mahathir.

Serangan tentang isu Tabung Haji menyebabkan BN kalah dalam PRK tersebut, kempen pilihan raya kecil selama seminggu itu lebih lebur sekelip mata pada hari pembuangan undi. 

Isu pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji yang hanya disiarkan dalam blog picisan telah mendapat liputan besar oleh media arus perdana termasuk televisyen kerajaan dan swasta.

Teringat juga  apabila pembangkang mengedarkan risalah yang menunjukkan Tun Mahathir sedang tos gelas bersama dengan perdana menteri Jepun. 

Risalah itu mudah, mereka (pembangkang) meletakkan gambar dan menulis 

                 " INIKAH PEMIMPIN ISLAM YANG KITA KEHENDAKI?" 

Ayat itu tidak menuduh Tun Mahathir memegang gelas arak dan tidak menyatakan Tun minum arak. tetapi persepsi orang Melayu apabila melihat gambar tersebut maka dalam otak mereka terus melabelkan bahawa Tun memang minum arak. 

Padahal gambar tersebut adalah gambar di mana Tun bersama-sama pemimpin dunia sedang tos gelas air koktail atau air buah-buahan di satu sidang Apex di Bali. Gambar tersebut diambil daripada majalah Newsweek.  Ini berlaku dalam PRU 1995.

Krisis antara Mahathir dengan Najib menjadi lebih parah dengan wujudnya pengikut kedua-dua pihak saling menyerang antara satu sama lain terutama melalui media sosial. 

Sekiranya yang menyerang atau melondehkan kain itu datangnya dari pihak pembangkang, ia tidaklah dianggap sebagai barah. tetapi hari ini yang menjadi racun dan yang mencurahkan minyak adalah datangnya dari kalangan orang Umno dan Barisan Nasional sendiri.

Tak cukup dengan itu, tokok-tambah dalam media sosial, orang Umno sendiri  telah menganjurkan road show dan ianya terbukti telah berlaku di Perak minggu lepas di Hotel Tower Regency.

Tun Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003 sudah tentu mempunyai pengikut yang besar jika di bandingkan dengan Najib yang baru sahaja masuk tahun ke enam sebagai perdana menteri.  

Generasi yang lahir pada tahun 70an dan 80an membesar dengan agenda Mahathir. 

Oleh itu kesetiaan dan kepercayaan terhadap Mahathir tidak mudah luntur. Lihatlah sendiri apabila ada suara-suara yang menyentuh keperibadian atau keluarga Mahathir, sepantas kilat isu tersebut dijawab  dengan pedas oleh mereka.

Tun Mahathir sangat disayangi oleh rakyat kerana jasanya membangunkan negara sehingga negara dikenali oleh dunia blok barat, lebih-lebih lagi negara-negara Islam 

Oleh itu sudah tentu Tun Mahathir  mempunyai pengikut dan penyokong setia dalam jumlah yang besar.

Mereka ini bukan semuanya ahli Umno tetapi mereka adalah rakyat pelbagai peringkat umur yang menjadi pengundi dan pembayar cukai. Oleh itu jangan main-main dengan Tun Mahathir yang amat berpengaruh.

Bercakap pula tentang solidarity 

Umno bukan pertama kali dilanda krisis, sejak awal penubuhan lagi pelbagai masalah telah membelenggu Umno namun dengan semangat solidariti Umno terus kekal memerintah hingga ke hari ini kerana kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh pengundi.

Krisis dalam Umno bermula apabila Dato Onn Jaafar keluar Umno dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) 1951 dan Parti Negara pada 1955. 

Sebelum itu pada tahun 1951 Umno berpecah dan tertubuhnya Parti Islam (PAS) selepas Ustaz Ahmad Fuad Hasan kalah kepada Tunku Abdul Rahman dalam perebutan jawatan Presiden Umno.

Krisis ketiga berlaku pada tahun 1969  antara Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir dan menyebabkan Tun Mahathir dipecat daripada Umno.

Krisis keempat melibatkan pemecatan Dato Harun Idris (1975) yang enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor selepas ditangkap atas kesalahan rasuah dan pecah amanah.

Tun Mahathir mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Hussain Onn pada tahun tahun 1981 dan enam tahun selepas itu  (1986) Tun berkrisis dengan Timbalannya iaitu Tun Musa Hitam sehingga memaksa Musa Hitam melepaskan jawatan.

Tahun 1987 krisis terus melanda Umno apabila Tunku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam menubuhkan team B untuk menentang Tun Mahathir dan Ghafar Baba dalam pemilihan Umno.

Ku Li dan Musa Hitam tewas kepada Tun Mahathir dan menyebabkan Ku Li membawa kes ke mahkamah dan akhirnya Umno dibatalkan pendaftarannya. 

Ku Li menubuhkan parti Semangat 46 dan membawa ramai penyokongnya seperti Dato Harun Idris. Musa Hitam dan ramai lagi dari Team B yang ternyata tidak senang dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno.

Semangat 46 bekerjasama dengan Pas dan Dap untuk menjatuhkan Umno namun ia tidak kekal lama 1996 S46 bubar dan ramai yang menyertai semula parti Umno, namun segelintir mereka yang ketegaq dan malu untuk berpatah balik terus menjadi hantu raya.

Paling kronik ialah apabila Anwar Ibrahim dipecat oleh Mahathir dan Majlis Tertinggi Umno atas salah laku seks dan salah guna kuasa. Umno berpecah sekali lagi dengan tertubuhnya Parti Keadilan yang diketuai oleh Wan Azizah. Anwar mengheret pengikutnya ke jalan raya untuk menumbangkan kerajaan secara revolusi.

Kesemua krisis yang dihadapi oleh Umno berjaya diatasi  dengan semangat solidariti. Majoriti ahli Umno berdiri teguh di belakang barisan kepimpinan parti.

Dalam soal 1MDB dan Tabung Haji, kita ahli Umno tidak perlu terkehadapan dalam membuat tohmahan.

Najib selaku perdana menteri dan bertanggung jawab menubuhkan 1MDB telah beberapa kali menjawab tuduhan dan tohmahan negatif dalam ucapannya, blognya dan melalui wawancara di televisyen. Tidak cukup dengan itu Najib menyerahkan kepada PAC dan Jabatan Audit Negara untuk membuat siasatan. 

PAC pula terdiri daripada ahli-ahli dari pelbagai  parti samada parti kerajaan dan parti pembangkang. Rakyat  harus memberi peluang kepada dua badan ini untuk membuat siasatan.  Tidak perlu lah untuk mana-mana ahli Umno membuat ulasan-ulasan yang melampau yang kita sendiri tidak faham.  Jangan dirujuk kepada media-media pembangkang yang lebih berminat kepada spekulasi negatif dan memburukkan kerajaan.

Kepada Ketua-Ketua Umno Bahagian seluruh negara elok lah membuat penerangan kepada pemimpin akar umbi Umno untuk memberi penerangan sejelas-jelasnya supaya mereka tidak terperangkap dalam krisis antara Presiden Umno dan  Tun Mahathir.

Hentam-menghentam dan melondehkan antara satu sama lain adalah sesuatu yang buruk dan memalukan kerana apa yang kita luahkan dalam media sosial akan dibaca oleh khalayak seluruh dunia. Tidak ada untungnya ibarat pepatah melayu,  kalah jadi abu, menang jadi arang.

Malam tadi Ketua Umno Bahagian Taiping Y.Bhg Dato Shalimin Ahmad Shafie telah pun membuat penerangan secara tertutup kepada semua Ketua Umno Cawangan dan pemimpin 4 peringkat tentang krisis yang dihadapi masa kini.

Shalimin juga mengajak ahli-ahli Umno untuk sama-sama ke RTC Gopeng Sabtu ini untuk mendengar sendiri penerangan yang akan dibuat oleh Najib bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang dibuat terutama oleh mantan perdana menteri.