Jumaat, 7 Julai 2017

Tuan Ibrahim perlu baca Laporan PAC dahulu sebelum jawab Puad Zarkashi



1. Jawapan balas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap komen Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kepada kritikan awal beliau mengenai isu Suruhanjaya Diraja (RCI) membuktikan Timbalan Presiden PAS itu tidak memahami isu sebenar Laporan Audit Negara berkaitan 1MDB dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). 

2. Sebenarnya tiada keperluan mendedahkan laporan audit 1MDB kerana dapatan Jabatan Audit Negara (JAN) telah diteliti oleh setiap anggota PAC. Anggota PAC juga telah memanggil setiap pihak yang berkaitan dalam prosiding dan bertanya soalan yang berkaitan dengan dapatan JAN. Kesemua dapatan JAN dan PAC ini juga sudah dimasukkan dalam Laporan PAC setebal 106 mukasurat. Tuan Ibrahim hanya perlu membaca Laporan PAC untuk mendapatkan maklumat semakan audit yang diperlukan. Jika diberikan Laporan Audit 1MDB kepada Tuan Ibrahim sekalipun, belum tentu dia memahaminya dan dia juga tidak mampu memanggil pihak yang terlibat untuk bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut kerana dia tidak mempunyai mandat seperti yang diberikan kepada PAC untuk berbuat demikian. Akhirnya dia akan berpolemik sendiri dan bertanya  perkara-perkara yang tidak difahaminya di media sosial. Tuan Ibrahim perlu sedar bahawa tugas untuk meneliti Laporan Audit 1MDB telah dilaksanakan oleh anggota PAC dan dia boleh mendapatkan maklumat lanjut dari wakil pembangkang yang menjadi anggota PAC ataupun membacanya di dalam Laporan PAC dan hansard prosiding. 

3. Masalah Tuan Ibrahim adalah dia tidak membaca Laporan PAC dan tidak membaca hansard prosiding PAC. Jika dia membaca hansard prosiding PAC ke atas Juruaudit Deloitte, dia akan mendapati berdasarkan Laporan Audit JAN, anggota PAC telah bertanya pelbagai soalan kepada Juruaudit Deloitte. Juruaudit Deloitte dapat mempertahankan dapatan mereka dan menjelaskan bahawa mereka telah bertemu setiap pihak yang terlibat termasuk IPIC, PetroSaudi, BSI dan pengurus-pengurus dana terbabit bagi mengesahkan setiap butiran dalam laporan audit yang mereka sediakan. Soal JAN tidak dapat mengesahkan sesuatu butiran tidak berbangkit kerana Juruaudit Deloitte dapat mempertahankan setiap butiran yang dibangkitkan oleh JAN apabila disoal oleh anggota PAC. 

4. Soal berkaitan Jho Low eloklah Tuan Ibrahim bertanya sendiri dengan anggota-anggota PAC. Anggota PAC mempunyai justifikasi mereka sendiri untuk memanggil pihak yang terlibat atau tidak memanggil pihak yang tidak dapat dibuktikan penglibatan mereka secara langsung dengan 1MDB.

5. Mengenai Sarawak Report, saya yakin jika portal berita tersebut mempunyai berdaftar dan beroperasi di Malaysia sudah pasti tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka seperti tindakan yang telah diambil ke atas portal berita yang beroperasi dan berdaftar di Malaysia. Tindakan juga boleh diambil ke atas Wall Street Journal jika mereka beroperasi di sini serta membuat tuduhan secara jelas. Pastinya Tuan Ibrahim tidak pernah membaca artikel WSJ yang berkaitan kerana jika dia membaca artikel tersebut, dia akan tahu bahawa WSJ tidak berani membuat sebarang tuduhan secara jelas sebaliknya hanya melaporkan maklumat dari sumber-sumber yang tidak dinamakan. 

6. Eloklah Tuan Ibrahim menjawab terlebih dahulu soalan kenapakah DOJ tidak berani membuat pendakwaan jenayah ke atas setiap individu yang dinamakan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram AS jika benar mereka mempunyai bukti prima facie sebaliknya hanya berani memfailkan saman sivil. 

7. Tuan Ibrahim juga wajar menjawab kenapa DOJ tidak menyiasat IPIC, Aabar, PetroSaudi dan pegawai-pegawai ketiga-ketiga syarikat tersebut kerana jelas IPIC menyatakan bahawa dana syarikat itu telah diselewengkan dan DOJ pula melaporkan bahawa PetroSaudi turut terlibat dalam kegiatan penggubahan wang. 

8. Akhir sekali Tuan Ibrahim wajar menjawab adakah perbicaraan kes saman sivil ini telah dibicarakan? Adakah mahkamah AS telah memutuskan siapakah yang bersalah dan harta siapakah yang telah dirampas? Jika perbicaraan masih belum dimulakan dan mahkamah belum memutuskan siapa yang bersalah, kenapa pula Tuan Ibrahim mahu RCI ditubuhkan di Malaysia? Bukankah DOJ sendiri menyatakan aduan yang digunakan untuk saman sivil ini tidak membuktikan apa-apa melainkan selepas mahkamah AS membuat keputusan? Adakah Tuan Ibrahim faham maksud kenyataan DOJ ini? 

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan