Khamis, 24 Ogos 2017

JOHOR YANG MATANG BUKAN JOHOR CIPTAAN PAKATAN HARAPAN.



Terlebih dahulu tahniah kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagi negeri Johor. Kini beliau mengetuai gerakan pembangkang di Johor.

Saya amat kagum dengan dasar dan pendekatan PH. Mereka melantik pemimpin bukan atas dasar prinsip dan merit. 

Menunjukkan betapa ghairahnya mereka untuk menakluk kuasa pemerintahan di Johor dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Perasaan kagum bercampur hairan ini lahir kerana hanya ada dua wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Johor. Setiap satu untuk kerusi di Parlimen dan DUN. 

Umum juga mengetahui bahawa kerusi PPBM di Johor dimenangi atas tiket UMNO/Barisan Nasional. Bermakna, mereka menang bukan atas asas merit, apatah lagi kepercayaan rakyat kepada institusi ataupun parti baru mereka kini.

Berbeza parti pembangkang yang lain. Yang menang di kawasan masing-masing atas asas merit (kecuali beberapa wakil PAN yang melompat dari PAS). Dan yang paling utama, mereka mempunyai bilangan kerusi yang lebih banyak berbanding rakan mereka dari PPBM.

Berbalik kepada pandangan YB Tan Sri Muhyiddin yang mengatakan bahawa Johor kini sudah matang. Kali ini saya ingin mengambil ketetapan untuk bersetuju dengan pandangan YB Tan Sri tersebut, atas beberapa faktor seperti di bawah.

Pertama. Ekonomi negeri Johor kini memang sudah matang, berbanding ketika YB Tan Sri menjadi Menteri Besar pada sekitar 1990-an. Matang dari segi pembangunan ekonominya sehingga menjadikan Johor negeri pilihan utama pelabur, berbanding Selangor dan Pulau Pinang. Ratusan ribu peluang pekerjaan baharu diwujudkan. 

Limpahan ekonomi dirasai rakyat di setiap peringkat dan golongan. Kadar kemiskinan di Johor kini berada pada kadar sifar peratus dan pendapatan rakyat melebihi kadar purata di peringkat nasional.

Apatah lagi semua kecemerlangan ekonomi dan kejayaan pembangunan di negeri ini tidak dapat dikecapi tanpa perancangan yang progresif dan tersusun hasil kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin dan barisan kepimpinan di negeri Johor.

Kedua. Pemikiran rakyat dan daya intelektual bangsa Johor kini juga sudah bertambah matang. Kesan dan hasil daripada usaha berterusan kerajaan sedia ada memperjuangkan agenda pendidikan dan pembangunan modal insan. 

Majoriti rakyat di Johor kini mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Lahir dari puluhan institusi pendidikan yang berkualiti. Kemahiran dan produktiviti kebanyakan rakyat juga makin meningkat. Terus menjadi penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi negeri. 

Aspek rohani dan pembentukan sahsiah bangsa tidak sesekali dilupai. Jumlah sekolah agama kini melebihi 570 buah di serata negeri.

Ketiga. Kualiti hidup dan tahap kesejahteraan rakyat di Johor kini juga sudah bertambah matang. Rakyat kini berpeluang memiliki rumah sebagai tempat berteduh dan membina kehidupan berkeluarga. Kemudahan awam dan infrastruktur asas juga bertambah baik dan matang. 

Baik yang duduk di kampung mahupun di bandar. Banyak juga kawasan penempatan setinggan yang telah diberi hak milik. Berbanding di era 1990-an yang banyak setinggan terpaksa diusir, dan tanah mereka diberikan kepada pemaju dan diswastakan. 

Integrasi jaringan pengangkutan awam di Johor juga bertambah baik. Rakyat kini berpeluang menaiki bas menuju ke pelbagai destinasi secara percuma. 

Kemajuan teknologi dirasai semua golongan dengan penyediaan wi-fi percuma di seluruh negeri. Kualiti air yang keluar dari setiap pili dan paip di setiap rumah juga bersih dan jernih. Rakyat bangsa Johor yang berbilang kaum hidup aman, damai dan sejahtera.

Kematangan yang dicapai oleh negeri Johor pada hari ini tidak berlaku secara automatik mahupun secara tiba-tiba. Ianya berlaku dan berjaya dicapai hasil perancangan rapi, pelaksanaan dan komitmen jitu, selain 'political will' kepimpinan dalam kerajaan sedia ada dalam semua perkara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Dan inilah takrifan sebenar Johor yang sudah matang. Rakyat Johor juga bijak menilai dan melihat pembangkang di Johor. 

Melihat mereka yang lebih banyak bercakap daripada bekerja. Mereka yang lebih banyak mengkritik tetapi tidak pernah membentangkan pelan yang lebih baik. Mereka yang lebih suka melihat Johor itu terus lemah berbanding melihat Johor itu kuat dan berjaya.

Selamat kembali TSMY,bekas MB Johor yang gagal ke negeri Johor. Johor tidak pernah lupa.

Fikri Allaudin
Aktivitis Persatuan Pemikir Muda Johor