Jumaat, 4 Ogos 2017

P.Pinang Mesti Pinda Undang- Undang Usir Penduduk Setinggan



Cubaan mengusir penduduk sebuah kampung Melayu di Pulau Pinang mungkin kerana pemilik tanah mengambil kesempatan ke atas undang-undang sedia ada, kata Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid hari ini.


Adun Telok Ayer Tawar itu berkata undang-undang sedia ada tidak mewajibkan pemilik tanah mendedahkan rancangan pembinaan di tanah itu melalui saluran rasmi.


Jahara berkata jika kebenaran merancang diserahkan, pemilik perlu membantu memindahkan penduduk sedia ada dan membayar pampasan.


Beliau menyifatkan pemilik tanah Kampung Mutiara di Batu Feringghi sebagai “pandai” kerana terlebih dahulu memohon perintah mahkamah untuk mengusir penduduk sedia ada dan tidak mendedahkan rancangan pembinaannya.


Justeru, pemilik tanah, kerana tidak menyerahkan kebenaran merancang, tidak diwajibkan untuk menempatkan semula penduduk atau memberi bayaran ex-gratia.


Beliau berkata keadaan itu menyebabkan kerajaan Pulau Pinang tiada kuasa untuk menghalang mereka, justeru dasar perlu diubah.


“Pemilik tanah tidak terikat kepada syarat dan garis panduan kerajaan Pulau Pinang kerana tiada garis panduan atau dasar dalam kes seperti itu.


“…pemilik tanah Kampung Mutiara mengambil kesempatan daripada undang-undang itu, yang mungkin terlepas pandang dalam proses pemberian kebenaran merancang kerajaan negeri.


“Sebab itu, penduduk asal kampung diusir tanpa diberi pampasan atau rumah ganti oleh pemilik tanah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.


Jahara merujuk kepada usaha 10 tahun kira-kira 500 penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi, yang cuba diusir pemilik tanah sejak 2006.


Semalam, selepas bertahun cubaan pengusiran dihentikan dan mahkamah yang berpanjangan, penduduk hampir diusir buat kali ke-3.


Pengusiran dihentikan pada saat-saat akhir selepas ahli politik kedua-dua belah pihak berjaya mencapai suatu persetujuan dengan pemilik tanah.


Penduduk akan ditempatkan semula di sebuah pangsapuri di Seri Tanjung Pinang, 5km dari tempat asal mereka.


Pemilik tanah tidak memiliki rancangan rasmi untuk tanah seluas 1.4 hektar itu, tetapi memaklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon yang beliau mahu membina sebuah rumah untuk ahli keluarga.


Sementara itu, Jahara berkata kerajaan Pulau Pinang mesti kemukakan dasar untuk membetulkan undang-undang itu, di mana pemilik tanah terlebih dahulu memohon perintah mahkamah untuk mengusir penduduk.


Beliau berkata kerajaan negeri mesti membetulkan isu itu, kerana bimbang pemilik tanah akan menggunakan kes ini sebagai duluan untuk mengusir penduduk seperti warga Kampung Mutiara.


“Dasar yang khusus diperlukan untuk menangani isu seperti ini. Mesti ada satu bentuk penangguhan kerana ramai yang berpotensi jadi gelandangan kerana perintah mahkamah,” kata Jahara.


Jahara berkata kerajaan Pulau Pinang wajar menubuhkan tabung khas untuk menangani isu seperti ini di masa depan.


Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan Tabung Amanah Perumahan Bumiputera yang dikumpul sejak 2009 untuk membantu kos perpindahan warga Kampung Mutiara.


Jahara berkata wang dari tabung itu juga boleh digunakan untuk membayar sewa perumahan sementara mereka.