Sejarah kedaulatan, keselamatan dan pembangunan negara adalah selari dengan pengorbanan pahlawan-pahlawan yang berjuang di barisan hadapan dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. Tanpa perjuangan serta pengorbanan mereka, keamanan serta kemakmuran yang kita kecapi hari ini adalah mustahil untuk dibayangkan, apatah lagi untuk sama-sama dinikmati.
Pada tahun 1960, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan tarikh hari ini, iaitu 31 Julai sebagai Hari Pahlawan, sempena berakhirnya darurat. Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan setiap tahun adalah sebuah platform untuk kita rakyat Negaraku Malaysia untuk mensyukuri keamanan dan ketenteraman yang dikecapi sehingga membolehkan negara terus berkembang maju dan pesat tanpa diancam oleh anasir-anasir luaran mahu pun dalaman yang tidak bertanggungjawab.
Jika kita selami maksud ‘pahlawan’, maka sudah tentunya ia membawa maksud orang yang gagah berani, pejuang yang gagah ataupun perwira. Maka Hari Pahlawan pastinya ialah hari kita memperingati pahlawan-pahlawan yang telah gugur di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh. Pahlawan-pahlawan ini menjadi sejarah yang sentiasa, dan seharusnya dikenang sepanjang zaman.
Selain itu, kita juga tidak lupa kepada pahlawan-pahlawan yang masih bersama kita, dan mereka yang masih berjuang hari ini mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara. Ingatlah, pahlawan-pahlawan kita ini berada di barisan hadapan demi memastikan rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana yang aman dan bebas daripada ancaman.
Saya menjemput anda untuk membaca blog saya berhubung sambutan Hari Pahlawan 2017 dan Kempen Tabung Pahlawan 2017 pada pautan ini.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada semua pahlawan-pahlawan negara. Anda adalah benteng keselamatan negara yang mempertaruhkan nyawa demi kedaulatan negara agar pewaris-pewaris kini dapat menikmati keamanan secara berterusan di bawah lembayung Negaraku, Malaysia.
Najib Razak