Jumaat, 12 Januari 2018

Berita hari ini


*12 Januari 2018 - Jumaat*
*24 Rabiul Akhir 1439 Hijrah*

➡ *NASIONAL*
1. BALING: Dipaksa mengaku suami sendiri sebagai 'rasul', selain mengakui status dirinya sebagai pengikut ajaran sesat Ibrahim Libya. Itu antara fakta palsu yang didakwa cuba ditanamkan dalam minda Solehah Husain, 65, yang juga balu kepada arwah Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim Mahmud, sepanjang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
2. KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menafikan pernah mengeluarkan pekeliling menghalang kanak-kanak tanpa warga negara memasuki alam persekolahan. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata semua kanak-kanak berstatus demikian dibenarkan mendaftar masuk ke sekolah apabila semua dokumen yang diperlukan Kementerian Pendidikan, disediakan.
3. KUALA LUMPUR: Selepas diberi penghormatan memasuki kawasan makam Rasulullah SAW di Madinah semalam, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berpeluang memasuki Kaabah ketika menunaikan umrah di Makkah. "Allahuakbar, rasa cukup terharu dan bersyukur diberi berpeluang memasuki Kaabah, melihat rumah Allah. Syukur Alhamdulillah," kata Perdana Menteri menerusi entri di laman sosial rasminya semalam.
4. KUALA LUMPUR: Jumlah jemaah wanita Malaysia yang mengerjakan umrah dijangka meningkat sehingga 40 peratus susulan keputusan Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) membenarkan wanita berusia 25 tahun dan ke atas masuk ke negara itu menggunakan visa pelancong. Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) (Haji dan Umrah), Ayob Mat Aris, berkata pihaknya yakin keputusan terbaru SCTH itu akan mendorong lebih ramai wanita negara ini ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah.
5. JERLUN: Kementerian Kewangan akan mewujudkan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai di kawasan pedalaman membuat semakan wang tidak dituntut (WTD) sebelum melakukan proses tuntutan di Jabatan Akauntan Negara. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, kaunter itu akan dibuka menerusi Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobile CTC yang menghimpunkan perkhidmatan utama mengikut keperluan penduduk tempatan secara serentak di satu lokasi yang dikenal pasti.
6. KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 10,000 permohonan baharu Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang dilanjutkan sehingga Disember tahun ini. Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini 3,000 pemohon sudah memohon bantuan bayaran deposit rumah yang dibeli.
7. KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM180 juta tahun ini untuk kos penyelenggaraan perumahan kos rendah dan sederhana di Selangor. Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata jumlah itu adalah 60 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM300 juta bagi kegunaan itu yang diumumkan dalam Bajet 2018 untuk seluruh negara kecuali Kuala Lumpur.
8. SEPANG: Brahim's Holdings Bhd dijangka memuktamadkan rundingan bagi menjadi peneraju kepada perkhidmatan katering di atas gerabak Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), bulan ini. Ketua Pegawai Eksekutif Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd, Ainul Hasnizam Abu Hassan, berkata rundingan berkenaan dilihat positif dan bakal memberi peluang kepada syarikat meluaskan lagi rantaian perniagaannya.

➡ *POLITIK*
1. GEORGETOWN: "Mungkin." Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika didesak pemberita untuk memberikan jawapan sama ada perbicaraan kes rasuahnya akan menjejaskan pencalonannya pada Pilihan Raya Umum ke-14. Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang beberapa kali dengan setiap kali untuk tempoh empat hingga lima hari sepanjang Mac dan Mei.
2. KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengakui setiap ahli politik, seperti juga beliau menyimpan hasrat untuk menjadi pemimpin, termasuk sebagai Perdana Menteri.  Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian ketika membaca keterangan saksi di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.  Bagaimanapun, katanya, hasrat itu bukanlah melalui 'pakatan sulit' seperti didakwa bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
3. KUALA LUMPUR: Pembangkang mewujudkan unsur desakan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila mahu 'membebaskan' Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengampunan bagi membolehkan Ketua Umum PKR itu menjadi perdana menteri selepas keluar dari penjara. Ia berikutan kenyataan pembangkang yang mahu mengusahakan pengampunan bagi Anwar untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri kelapan jika gabungan itu memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14). Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata sekiranya Anwar dilantik menjadi perdana menteri bermakna ada unsur pemaksaan terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan jenayah beliau.

➡ *EKONOMI*
1. KUALA LUMPUR: Unit milik penuh Uzma Bhd, Uzma Engineering Sdn Bhd, memperoleh dua kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, yang dijangka meningkatkan perolehannya pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 dan seterusnya. Kontrak pertama adalah pembekalan unit operasi kerja pulih telaga hidraulik dengan tempoh kontrak mulai 28 Disember 2017 sehingga penyiapan tiga telaga, dengan pilihan perluasan kepada enam telaga lagi.
2. KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) memeterai perjanjian dengan (PFG) bagi meningkatkan pemilikan PFG dalam CIMB-Principal Asset Management Group dan CIMB-Principal Islamic Asset Management.
Melalui perjanjian itu, kepentingan PFG di dalam kedua-dua entiti berkenaan akan meningkat kepada 60 peratus manakala CIMB mengekalkan 40 peratus kepentingan.
3. KOTA KINABALU: Afmaco Energy Bhd (Afmaco) berhasrat melabur RM6 bilion menerusi projek utiliti mega 'Clean Fuel Refinery Complex' (CFRC) di Tawau. Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Afmaco, Ahmad Faizul Mohamed Alwi, berkata projek yang terbahagi kepada dua fasa itu bertujuan membantu memastikan keperluan bekalan elektrik yang mencukupi dan konsisten di negeri itu.

➡ *AGAMA*
1. Dari Anas bin Malik r.a : Nabi saw bersabda, “Semua negeri akan diinjak oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah. Di mana setiap jalan masuk ke dalam kedua kota itu dijaga oleh malaikat dengan berbaris. Kemudian Madinah goncang (dengan) tiga kali goncangan, maka ketika itu Allah SWT mengeluarkan semua orang kafir dan munafik.” 

➡ *LUAR NEGARA*
1. RIYADH/DUBAI: Arab Saudi mengambil alih kawalan pengurusan syarikat pembinaan, Saudi Binladin Group dan membincangkan kemungkinan memindahkan sesetengah aset gergasi pembinaan itu kepada kerajaan. Tindakan itu dilakukan ketika pengerusi dan anggota keluarganya ditahan, kata sumber.
Binladin, yang pernah memiliki lebih 100,000 kakitangan, adalah pembina terbesar di negara itu dan penting kepada Riyadh untuk meneruskan projek hartanah, industri dan pelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi selepas minyak.
2. BAITULMAQDIS: Beberapa halaman teori relativiti Albert Einstein bertulis tangan, surat cinta kepada kekasihnya dan sebahagian arkib pakar fizik itu di Baitulmaqdis akan dipamerkan buat kali pertama di Taiwan, China dan Jepun. Kira-kira 75 artifak akan dipamerkan di Taipei bermula esok sebagai sebahagian pameran 'Albert Einstein: Life in Four Dimensions', kata Universiti Hebrew semalam.
3. TEPIC, Mexico: Kerajaan perlu menganggap kes kemalangan maut di jalan raya sebagai isu kesihatan awam dan memperbaiki sistem pengangkutan awam serta reka bentuk bandar untuk mengurangkan kecederaan dan kematian akibat nahas terutama di negara miskin. Meletakkan tanggungjawab kes kemalangan ke atas perancang bandar dan pihak berkuasa pengangkutan berbanding pemandu adalah penting bagi mengurangkan 1.3 juta kematian setiap tahun, menurut laporan Institut Sumber Dunia dan Bank Dunia yang disiarkan semalam.

➡ *SUKAN*
1. Birmingham, England: Pos Lewis Hamilton di media sosial sering menjadi bahan perbincangan dalam Formula Satu (F1) namun apabila juara dunia empat kali itu berdiam diri kebelakangan ini, ia tentu sekali menarik perhatian ramai. Pelumba Mercedes itu menamatkan 2017 dengan memadam semua pos di akaun Twitter dan Instagram selepas pengkritik mengecam komen yang diberikannya terhadap anak saudaranya yang memakai gaun merah jambu.
2. KUALA LUMPUR: Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bakal menjadi medan pembuka tirai Liga-M musim depan apabila bakal jadi venue penentuan Sumbangsih membabitkan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah, 3 Februari ini.
Selepas itu tiga perlawanan menjadi tumpuan pada aksi pertama Liga Super kali ini yang pastinya terarah kepasa perhitungan antara Melaka United dan Kelantan, Kuala Lumpur menentang Selangor dan pertembungan antara dua pendatang baharu, PKNP FC dan Negeri Sembilan.
3. LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte dan rakan sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger mempersoalkan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR), ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi Piala Liga, awal pagi semalam. Conte berkata beliau kekal positif dengan teknologi itu namun tetap kecewa dengan jumlah tambahan masa di babak kedua kerana berlaku penangguhan masa permainan kerana masalah kecederaan dan VAR.