Sabtu, 10 Mac 2018

Ketua Bahagian PPBM Larut keluar parti bersama Ketua Srikandi

Kepemimpinan utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Larut iaitu Ketua Bahagiannya, Mohd Radzi Ramli dan Ketua Srikandi, Rosnani Wahab, mengumumkan keluar parti dan mahu menyertai UMNO berkuat kuasa hari ini.

Turut mengikuti tindakan mereka ialah dua ahli biasa PPBM Larut, Habibah Abdul Rahmat dan Sobri Mat Zain.

Majlis pengumuman turut dihadiri Ahli Parlimen Larut yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Faisol Arby Mohd Shohor.

Mohd Radzi pada sidang medianya menjelaskan, langkah itu dibuat kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pengerusi PPBM Perak, Faizal Azumu selain berasa diperalat oleh bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami sejujurnya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk kepimpinan PPBM di bawah Faizal Azumu.

"Kekurangan dana yang dijanjikan sebelum ini tidak diturunkan bagi menjalankan program apatah lagi penubuhan PDM (pusat daerah mengundi) serta pembelian kelengkapan bilik gerakan seluruh Parlimen Larut.

"Kalau ada pun hanya sedikit sahaja bagi menampung kos perbelanjaan malah kami juga dapati agihan kerusi DUN Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti masih lagi memihak kepada DAP di mana parti itu mendapat 18 kerusi berbanding PPBM, PAN (Parti Amanah Negara) dan PKR.

"Jika berlaku sebaliknya kemungkinan DAP akan memerintah negeri Perak dan jawatan Menteri Besar pasti menjadi milik DAP," katanya.

Beliau berkata, sepanjang memegang jawatan Ketua Bahagian dalam PPBM dia hanya diperalatkan kepemimpinan PPBM untuk kepentingan mereka.

Katanya, matlamat PPBM hanya mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tidak ada tujuan lain yang jelas.

"Apa yang boleh saya katakan, PPBM kini hanya menjadi kuda tunggangan DAP dan ia jelas melalui pembahagian kerusi DUN Perak yang tetap (DAP) mendahului parti lain," katanya.

Katanya, lebih ramai ahli PPBM dijangka turut sama mengikutinya selepas tidak lagi selesa dengan kepemimpinan PPBM sedia ada.

"Kami dapati dalam PPBM Larut akhir-akhir ini sudah berlaku perpecahan dalam kalangan ahli jawatankuasa, masing-masing menunjukkan kehebatan serta menonjolkan diri dan saling pijak memijak antara satu sama lain untuk dipilih sebagai calon PRU14, sebagai Ketua Bahagian saya disisihkan begitu saja

"Ibarat makan tebu, habis manis sepah dibuang, saya hanya dijadikan batu loncatan untuk kepentingan mereka atau individu tentu sahaja," katanya.