Rabu, 14 Mac 2018

LAGI PEMBUNUHAN TERHADAP HAIWAN TERANCAM DI PERAK



GERIK: Sekurang-kurangnya 20 gajah di hutan sekitar daerah ini dipercayai dibunuh sindiket pemburu haram profesional, sejak sembilan tahun lalu.

Sindiket itu dipercayai didalangi empat lelaki berusia 40 hingga 49 tahun.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, empat lelaki itu berjaya ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula Sabtu sehingga semalam.



Katanya, operasi dikenali Ops Gading membolehkan keempat-empat suspek ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di daerah ini.

"Susulan penahanan mereka, polis juga menemui bangkai seekor gajah yang mati dibunuh di Hutan Piah di sini dan gadingnya hilang dipercayai diambil untuk dijual.

"Sindiket ini dipercayai melakukan kegiatan memburu dan menjual hasil hidupan liar seperti gading gajah, harimau dan rusa, malah dipercayai sudah memperoleh hasil lumayan sepanjang sembilan tahun.

"Pemburuan haram mereka dipercayai membawa keuntungan dianggarkan cecah RM800,000," katanya dalam sidang media khas selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Grik di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Hashim.

Zulkifli berkata, operasi itu turut merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458, lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai untuk kegunaan sindiket terbabit.

Menurutnya lagi, selain merampas peralatan digunakan untuk kegiatan berburu, polis juga berjaya menemui hasil buruan sindiket itu iaitu satu tanduk rusa dan tujuh tulang hidupan liar dipercayai tulang harimau serta wang tunai berjumlah RM10,500.

"Wang tunai dirampas itu dipercayai hasil jualan gading dari bangkai gajah yang ditemui dan hasil soal siasat terhadap keempat-empat suspek, mereka mengaku baru sahaja menjual gading berkenaan kepada orang tengah di sempadan negara dengan harga RM12,000.

"Polis akan menjalankan siasatan terperinci dan bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengenal pasti sindiket yang bekerjasama dengan semua suspek. Kita yakin akan berjaya menjejaki suspek lain yang terbabit," katanya.

Zulkifli berkata, semua suspek direman sehingga 18 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971; Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, gajah yang ditemui mati dibunuh itu dianggar berusia 30 tahun dan bedah siasat ke atasnya mengesahkan punca kematian akibat luka tembakan pada bahagian kepala dan punggung.

Jelasnya, harga pasaran gading gajah adalah sekitar RM2,000 sekilogram dan berdasarkan statistik tiga tahun lalu mendapati jumlah gajah di seluruh semenanjung adalah sebanyak 1,200 hingga 1,500 ekor.