Jumaat, 15 Jun 2018

Hari Raya Pun Nak Berpolitik

KENYATAAN MEDIA:

1. UMNO kesal dengan perutusan Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berbaur politik dan cuba menghasut rakyat agar membenci Barisan Nasional serta UMNO. 

2. Berbanding dengan perutusan khas titah Yang Dipertuan Agong yang menyentuh peri pentingnya institusi diraja dipertahankan, Dr Mahathir masih mempertahankan pembohongan Kabinetnya mengenai hutang negara dan bencinya kepada kerajaan terdahulu.

3. Seolah-olah beliau seorang yang suci umpama wali Allah, beliau menyebut kemurniaan Aidilfitri serta ajaran Allah tetapi beliau sendiri membangkitkan rasa benci melulu terhadap BN dan UMNO. 

4. UMNO terkilan dengan sifat sedemikian. Perutusan itu sepatutnya digunakan untuk perpaduan nasional, saling bermaaf-maafan dan nada kegembiraan.

5. Bagaimanapun Dr Mahathir menggunakan kesempatan itu untuk menyalahkan kerajaan silam dan memuji Kerajaan PH yang baru lebih sebulan berkuasa ini sebagai 'perfect' atau sempurna dan tidak akan membuat kesilapan.

6. UMNO sebaliknya menjunjung kasih ke atas Yang Dipertuan Agong kerana meminta rakyat menjaga Institusi Raja Berperlembagaan sebagai penyelamat jika. berlaku sesuatu masalah besar kepada negara.

7. UMNO bagaimanapun ingin bertanya Dr Mahathir adakah Kabinetnya sedar bahawa keputusan DYMM Yang di-Pertuan Agong tidak mengadakan rumah terbuka di Istana Negara adalah tanda Seri Paduka 'jauh hati' apabila pentadbiran PH mengizinkan A Kadir Jasin dan pihak tertentu mempersoalkan kos perbelanjaan diraja? Ia satu tindakan yang tidak sewajarnya kepada tuan tanah negara ini. Mungkinkah mereka yang kurang ilmu ini ingin menunjukkan tahap pemikiran sebenar? 

8. Tidakkah sudah wujud provokasi terhadap institusi diraja oleh ejen-ejen PH, dan adakah PH mengharapkan orang Melayu akan duduk diam apabila satu-satunya hak mereka yang tinggal ini, dipersoalkan?

9. Bagaimana pula perasaan Dr Mahathir sendiri yang mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran, sedangkan tradisi rumah terbuka Istana Negara tidak dipandang berat oleh kerajaannya?

10. Ini juga seolah-olah mencerminkan Kerajaan PH kini mengajak rakyat supaya tidak lagi menghormati,  mendaulatkan dan memandang tinggi Institusi Raja-Raja Melayu. 

11. Pemangku Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak langsung menyentuh bab politik dalam Perutusan Hari Rayanya, sebaliknya berkata Aidilditri patut digunakan sebagai perayaan untuk perpaduan ummah.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
15 Jun 2018