Khamis, 23 Julai 2009

Cubaan tutup isu salah guna wang kerajaan

SHAH ALAM 22 Julai - Tindakan pakatan pembangkang mendesak supaya siasatan berhubung penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor dihentikan ekoran kematian Teoh Beng Hock merupakan cubaan mereka untuk menutup isu itu daripada terbongkar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Noh Omar berkata, kematian setiausaha politik kepada seorang Exco Selangor pada Khamis lalu itu telah dijadikan bahan untuk menghalang perbuatan buruk mereka yang terlibat didedahkan melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

''Sebenarnya mereka (pakatan pembangkang) sudah tidak tahan apabila SPRM mula menyiasat kes itu dan mencari kaedah untuk membuatkan rakyat marah dengan SPRM supaya siasatan tidak diteruskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pakatan pembangkang menyuarakan desakan itu ketika mengadakan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya dekat sini pada Ahad lalu.

Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini, selepas 10 jam disiasat sebagai saksi berhubung penyalahgunaan wang kerajaan negeri itu di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama.

Noh menegaskan, polis dan SPRM mesti meneruskan siasatan tanpa menghiraukan desakan pihak tertentu.

Jelasnya, isu kematian itu tidak sepatutnya dipolitikkan dan integriti SPRM tidak seharusnya dipertikaikan.

''Tetapi masalah yang sering ditimbulkan oleh pakatan pembangkang ialah mereka terlebih dahulu membuat keputusan sebelum siasatan selesai bagi memesongkan fikiran rakyat," ujarnya.