Ahad, 9 Ogos 2009

Ronnie ‘hero’ bukan Melayu

 “Ronnie Liu boleh diibaratkan masyarakat bukan Islam di negeri ini sebagai ‘hero’ yang menyuarakan suara serta keperluan rakyat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok Suh Sim.


Beliau ketika mengulas berkenaan rampasan isu arak yang dikaitkan dengan Ronnie berkata, pihaknya dimaklumkan sebahagian masyarakat bukan Islam di negeri ini melahirkan kekecewaan mereka dengan kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, yang mendesak Ronnie digugurkan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Teresa berkata, pihaknya turut menyokong kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bahawa peniaga seharusnya mempunyai kesedaran sendiri sekiranya menjual arak kepada pelanggan Islam.

“Saya berpendapat kenyataan dan keputusan diambil MB itu munasabah kerana di Selangor masyarakat yang tinggal terdiri daripada pelbagai kaum.


“Kerajaan Negeri perlu mengikut kehendak dan keperluan bangsa-bangsa lain yang bukan beragama Islam kerana seperti yang diketahui arak bukanlah dijadikan minuman semata-mata kerana turut digunakan dalam aktiviti keagamaan dan kematian,” katanya.


Kata beliau, apa yang penting dalam isu ini adalah peniaga itu sendiri melaksanakan ‘self regulation’ ataupun berpandukan kesedaran penjual terhadap permintaan pelanggan Islam.


“Sekiranya mendapati orang Islam datang membeli, peniaga tidak seharusnya menjual minuman keras itu kepada pelanggan mereka.

“Peniaga juga perlu meletakkan papan tanda larangan menjual minuman keras kepada pelanggan Islam di kedai mereka,” katanya yang mendakwa papan tanda berkenaan mudah diperoleh dan digantung di premis-premis perniagaan,” katanya.

Kata Teresa, ramai masyarakat bukan Islam menyuarakan pandangan apa yang dilakukan oleh Ronnie itu betul selepas melihat kepada isu terbabit.

“Kerajaan Negeri belum mengeluarkan garis panduan ketika Ronnie bertindak demikian dan kerana itu kami merasakan tindakannya itu mengikut keputusan Exco.

“Saya sebenarnya kurang memahami apa yang dikatakan masyarakat sesuatu kaum memonopoli sesuatu kawasan kerana jika kita lihat sesetengah tempat di Kuala Lumpur, masih ada penjualan arak walaupun majoriti penduduknya beragama Islam,” katanya.