Sabtu, 16 Januari 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DI BORNEO


Kristian Sabah, Sarawak boleh guna kalimah Allah

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan kerana secara tradisinya ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Langkah itu juga mengambil kira kebiasaan penduduk Islam di kedua-dua negeri berkenaan terhadap amalan penganut Kristian itu.

Bagaimanapun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, penganut Kristian dan pihak gereja di Semenanjung tetap tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah di dalam sebarang upacara keagamaan termasuk penerbitan.

Larangan tersebut katanya, turut melibatkan penganut Kristian Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung.

''Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu ini kerana ia sudah menjadi tradisi mereka.

''Malah saya pernah hadir di dalam satu upacara sembahyang di sebuah gereja kaum Iban dan saya mendengar perkataan Allah disebut di gereja berkenaan,'' katanya seperti dipetik oleh akhbar The Borneo Post hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan dari Borneo Post, Utusan Borneo dan Oriental Daily di pejabatnya di sini semalam.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mencetuskan kontroversi apabila akhbar Herald-The Catholic Weekly telah membuat tuntutan menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya baru-baru ini.

Tuntutan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Disember lalu tetapi pelaksanaannya ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

Ketika ditanya mengapa perlu ada dua peraturan mengenai penggunaan perkataan Allah di antara penganut Kristian di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, beliau berkata, ia bukan satu amalan yang unik.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, situasi di Semenanjung amat berbeza dengan Malaysia Timur kerana perkataan Allah hanya mula diperkenalkan dalam penerbitan dan upacara sembahyang penganut Kristian beberapa tahun lalu.

''Umat Islam di Semenanjung tidak dapat menerimanya kerana perkataan Allah tidak pernah digunakan di dalam upacara agama (Kristian) sehinggalah baru-baru ini.

''Oleh itu mereka (umat Islam) telah mempersoalkan motif di sebalik penggantian perkataan Tuhan dengan perkataan Allah,'' jelasnya.

Jelas Mohamed Nazri, Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan masyarakat Melayu Islam dan ia berkuat kuasa di semua negeri di Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata, penganut Kristian perlu sedar bahawa penggunaan kalimah Allah sama ada di dalam upacara agama atau di dalam penerbitan di Semenanjung merupakan satu perkara yang amat sensitif bagi umat Islam.

''Kerajaan sebenarnya bertanggungjawab untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara khususnya yang menyentuh isu agama dan kaum walaupun tiada undang-undang menyatakan ia salah.

''Sebagai contoh, tiada undang-undang yang menyatakan memijak kepala lembu salah tetapi apabila dilakukan oleh sekumpulan orang Melayu di hadapan kuil, tindakan terpaksa kita ambil atas alasan mereka tidak menghormati agama Hindu,'' tambahnya.

Hujah TM,

Sabah dan Sarawak adalah dua buah kerajaan autonomi yang telah bersama Malaysia sejak 1963 lagi. Dalam perjanjian lisan 2o perkara , Kerajaan Persekutuan tidak boleh memcampuri urusan kedua-dua kerajaan negeri dalam banyak perkara. Salah satunya ialah isu agama. Oleh itu Umno dan Menteri Persekutuan tidak berhak untuk menyekat penggunaan perkataan Allah di Borneo seperti yang didesak oleh Khalid Samad.

Khalid menuduh YB DS Nazri Aziz mengelirukan rakyat kerana melarang penggunaan perkataan Allah di Semanjung dan membenarkan pula di Borneo. Sebenarnya Khalid Samad yang cuba mengelirukan rakyat. Khalid tidak faham sejarah dan status politik di Semenanjung dan Borneo.

Khalid Samad sengaja mengelirukan rakyat yang beragama Islam di Semenanjung dan penganut Katholik di Semenanjung. KDN perlu menahan Khalid Samad dalam isu ini dan KDN perlu memberi penjelasan kepada rakyat. Pemuda Umno dan Umno tidak boleh menjadi agen atau jentera kerajaan dalam menerangkan kepada rakyat. Sebaliknya Kementerian Penerangan dan kerajaan negeri yang perlu menjelaskan perkara ini.

Di Borneo yang terdiri dari pelbagai kaum peribumi yang telah diKristian oleh mubaligh Barat sejak penubuhan kerajaan Barat mentadbir kepulauan tersebut. VOC telah memainkan peranan besar dalam perkembangan kristian di pulau ke empat terbesar di dunia.

Bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama dalam majlis agama kristian yang difahami oleh semua suku kaum. Setiap minggu semua penganut kristian dari kaum cina, iban, melanau dan lain-lain kaum akan berhimpun di gereja dan bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perantara. Tidak semua gereja yang menggunakan kalimah Allah. Jika nak halang pun biarlah kerajaan negeri sendiri yang memutuskan. Setakat hari ini Tidak ada perkataan Allah ditulis besar-besar seperti mana gereja roh kudus di Indonesia.

Dan tolonglah Pak Khalid Samad.....jangan main isu ini di Borneo.