Ahad, 14 Februari 2010
NIZAR LIDAH BERCABANG-PAS TIDAK PERCAYA QADA DAN QADAR
Rakyat Perak nanti pembangunan, bukan demonstrasi — Berita Harian
FEB 11 — Keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kelmarin yang memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak setahun lalu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UTNP), memperjelaskan seseorang perlu membuktikan yang beliau memperoleh sokongan majoriti sebelum boleh dilantik sebagai Menteri Besar.
Ini juga sekali gus menunjukkan undi tidak percaya tidak semestinya hanya boleh dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), malah boleh ditentukan dengan tindakan 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).
Selain itu, Menteri Besar dan Exconya dianggap meletak jawatan apabila Sultan Perak menolak permohonan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN.
Malah, keputusan itu juga berdasarkan bahawa kuasa membubarkan DUN adalah kuasa mutlak Sultan. Justeru, jika Sultan menolak permohonan berkenaan, ia tidak boleh dipersoalkan.
Ini adalah antara inti pati penting keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang tidak boleh dirayu lagi dan ia juga boleh dijadikan rujukan bagi kes sama jika berulang pada masa akan datang. Justeru, semua pihak termasuk pakatan pembangkang harus menerima keputusan itu dengan tenang dan bukan mempertikaikannya.
Namun, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta penyokong pakatan pembangkang di Perak memprotes keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Zambry pasti mengecewakan.
Lebih mendukacitakan apabila Menteri Besar Kelantan itu menyatakan bahawa perasaan benci perlu ditanam dalam hati rakyat terhadap keputusan itu kerana kemenangan BN bukan menerusi pilihan raya, sebaliknya rampasan kuasa.
Mungkin Nik Aziz sudah lupa yang negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pada masa sama, mendaulatkan perlembagaan dan kebebasan kehakiman. Beliau memperlihatkan sikap tidak profesional dan sepatutnya boleh diambil tindakan kerana menghina mahkamah.
Nik Aziz juga mungkin sudah lupa bahawa sebelum ini pembangkang sendiri yang mahu mahkamah menentukan siapa Menteri Besar Perak, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan.
Apakah Tok Guru itu inginkan kekecohan berlaku di Perak sekali lagi dengan menghasut penyokong pembangkang melancarkan protes.
Tindakan Nik Aziz itu berbeza dengan pendirian rakannya dalam pakatan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang; Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohammad Nizar sendiri yang menasihatkan penyokong mereka bertenang sambil terus memantapkan jentera parti di Perak.
Kita berharap penyokong pembangkang tidak terpengaruh dengan gesaan Nik Aziz itu dan kepada penyokong BN pula, jangan terlalu bergembira dengan keputusan itu kerana cabaran tetap akan dilalui pada pilihan raya umum nanti.
Penyokong BN perlu bekerja lebih keras manakala Zambry, wajib meneruskan amanah menjalankan tugas pentadbiran dengan lebih baik demi kepentingan rakyat Perak.