Selasa, 25 Mei 2010

Buku sejarah sekolah Melayu Perak


Mohd. Nor Long menunjukkan buku hasil penulisannya Sejarah Perkembangan Sekolah-Sekolah Melayu Negeri Perak di Ipoh, semalam.


IPOH 25 Mac - Setelah terperap lebih 40 tahun, monograf yang dihasilkan oleh penulis, Mohd. Nor Long semasa belajar di Universiti Malaya (UM) pada 1968 akhirnya diterbitkan dalam bentuk buku.
Buku bertajuk Sejarah Perkembangan Sekolah-sekolah Melayu Negeri Perak itu diterbitkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan dilancarkan di sini hari ini.
Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, buku tersebut agak istimewa kerana ia ditulis menggunakan ejaan Melayu lama dan memaparkan sejarah sekolah-sekolah Melayu terawal di negeri ini.
''Ia merupakan pengalaman yang bagus kerana kita berpeluang membaca buku ini untuk mempelajari sejarah perkembangan sekolah-sekolah Melayu di negeri ini yang ada antaranya masih wujud.
''Buku ini memberikan peluang kepada murid dan guru untuk mempelajari sejarah sekolah-sekolah Melayu di Perak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tersebut di Jabatan Pelajaran negeri di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Radzi menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam 2009 kepada sekolah-sekolah yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sementara itu, Mohd. Nor yang pernah menjadi Pengarah Pelajaran Pahang sebelum bersara pada 1988 berkata, idea untuk menerbitkan buku itu dicetuskan oleh bekas Pengarah Pelajaran Perak, Kolonel Datuk Ir. Mohammed Zakaria Mohd. Noor.
''Dalam buku ini ada sejarah mengenai sekolah-sekolah Melayu terawal seperti Sekolah Matang Gelugor di Matang, Sekolah Teluk Pial di Kuala Kurau dan Sekolah Temelok di Trong.
''Kebanyakan bangunan sekolah ini juga sudah roboh dan digantikan dengan bangunan baru," katanya.
Mohd. Nor yang berkhidmat selama 40 tahun dalam bidang perguruan pernah menghasilkan banyak penulisan seperti Hati dan Budi, Puteri Labu, Empat Beradik di Sabah, Panglima Ah Chong, Gurindam 1,000 Nasihat, Khabar dari Sydney dan Biografi Tun Hamdan Sheikh Tahir.