Isnin, 14 Jun 2010

POLITIK SATE PUN ADA.....TAK PERCAYA BACA NII

Ahli UMNO perlu berhenti mengamalkan budaya ‘politik sate’ yang berleluasa dalam parti itu kerana ia boleh menyemai perasaan benci di kalangan mereka sehingga menimbulkan perpecahan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang perselisihan pendapat seharusnya diselesaikan segera supaya tidak berlarutan sehingga ke satu peringkat yang tidak boleh diselamatkan lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjelaskan, semua organisasi tidak kira parti politik atau syarikat korporat mempunyai masalah masing-masing yang perlu ditangani secara bijaksana.

‘‘Jangan amalkan politik sate. Sate ada daging sama ada ayam atau lembu, ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas kerana dia akan bakar daging untuk orang lain makan.

‘‘Ini yang sedang berlaku dalam parti. Jangan ada ahli yang menjadi seperti tukang kipas dan tukang cucuk, kini adalah masanya untuk kita bersatu,’’ katanya ketika berucap pada Program Kelestarian Rakyat anjuran UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu; Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, Datuk Azhar Ibrahim; Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid turut menasihatkan ahli-ahli supaya tidak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin secara terbuka kerana ia boleh dijadikan modal oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan parti.

‘‘Bila benci, musuh akan kutip jadikan peluru untuk bunuh kita.

‘‘Dalam politik, di kalangan sahabat ada musuh tetapi di kalangan musuh tiada sahabat.

‘‘Kalau tidak suka pemimpin, jangan lontar kata-kata kesat hingga orang lain benci kerana bila pemimpin itu kalah, kita pun kalah juga,’’ tegasnya.

Mengenai perancangan untuk merampas semula Pulau Pinang daripada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, beliau memberitahu, sudah tiba masanya semua jentera dalam komponen BN bekerjasama bagi mewujudkan keakraban.

‘‘Setiap parti komponen BN ada jentera masing-masing tetapi mereka ini jarang disatukan dalam mana-mana program.

‘‘Selepas ini, saya cadangkan mana-mana parti yang buat program sama ada majlis rasmi atau tidak, jemput sama parti lain kerana keakraban itu lebih penting,” ujarnya.