BATU KURAU 11 Julai - YAB Dato Seri Dr Zamry Abdul Kadir berasa sangat gembira kerana Umno Larut dapat menjalankan persidangan dengan jumlah perwakilan cukup ramai iaitu 351 orang. Kata beliau semasa memulakan ucapan perasmian. Persidangan kali ini diadakan di dewan sekolah SK Toh Sajak, Batu Kurau.
YB Raja Dato Seri Hj Ahmad Zainuddin Ketua Bahagian Umno Larut dalam ucapan alu-aluannya memohon kepada Menteri Besar agar Hub Pendidikan Perak juga dibawa ke kawasan Larut. Jika tidak dapat membina kampus universiti atau pun sekurang-kurangnya mempertimbangkan sebuah kolej di kawasan ini. Tanah tidak menjadi masalah, tanah kosong seluas 30 ekar berhampiran Pusat Veterinar Negara Kubu Gajah siap sedia untuk dimajukan.
Dr Zamry menyatakan dengan kehadiran seramai ini memberikan satu penanda yang baik kepada kita sekalian disebalik masalah yang ada.
"Di bahagian lain ada juga juga masalah dok berebut jawatan tak habis-habis. Bila hadir persidangan duduk berasingan mengikut puak dan kelompok. Apa guna berebut jawatan sedangkan negeri diperintah oleh orang lain."Pihak pembangkang (PR) sekarang melalui akhbar-akhbar mereka seolah-olah memberi keyakinan bahawa negara ini akan diambil alih bermula dari Sibu ke Putrajaya. Sebelum mereka berkuasa mereka menjanjikan macam-macam, tetapi mereka sebenarnya tidak mampu memberikan keadilan dan pemerintahan yang terbaik kepada rakyat.
Dr Zamry juga mengimbas semula 11 bulan Perak dibawah pembangkang. Paling sedih bila bercerita bagaimana pembangkang di Pulau Pangkor yang merampas dewan orang ramai dan ramai-ramai mereka menurunkan gambar poster PRU beliau dan memijak-mijak sambil menari-nari beramai-ramai seperti mana meraikan kejatuhan kerajaan Shah Iran dan Sadam Husin , kita dihina sehina-hinanya. Ini dilakukan oleh mereka yang mengaku Islam.
Mereka sering menuduh BN dan Umno adalah pemerintah yang zalim, tetapi sebenarnya mereka lah yang zalim. Dewan Orang Ramai yang kita bina dengan wang kita, usaha kita, tiba-tiba dirampas dan mereka tak bagi kita masuk. Tetapi Allah maha kaya, mereka dibenarkan hanya 11 bulan sahaja. Mereka berbicara mengenai pentadbiran Islam, hukum Allah, tetapi merekalah yang zalim kepada rakyat apabila berkuasa.
11 bulan juga kita kena sedar, jangan kita lupa sejarah. Pesanan Nabi Muhammad SAW "Jangan kita jatuh dalam lubang yang sama untuk kali kedua". Jangan sampai peristiwa 11 bulan berulang, oleh itu perkukuhkan parti, kurangkan pergeseran, kasihkan parti kerana kita semua ini mewakili rakyat, rakyat sayangkan kita. Jangan ada sindrom KALAU kerana sindrom tersebut tak dapat menggantikan apa yang telah hilang bak kata pepatah "kesal dahulu pendapatan kesal kemudian tidak berguna lagi."
Pesanan seterusnya ialah pemimpin kena rajin turun padang. Terima kasih kerana barisan kepimpinan bahagian yang berjaya menjaga dan memperelokkan bahagian. Kalau ada kesilapam diperingkat kepimpinan atasan atau kepimpinan bawahan, tegur-tegurlah secara berhemah dan beradab. Kita kena ada perasaan tolong menolong satu sama lain. Bukan sesama Umno sahaja tetapi dengan komponen Barisan Nasional. Janji yang kita buat kena tunaikan, jangan biarkan rakyat tunggu bertahun-tahun. Mana yang boleh dipercepatkan kita cepatkan , mana yang lambat kena jelaskan kenapa lambat.
Jalan Anak Kurau- Taiping sepanjang 11km yang tertangguh 30 tahun akan diusahakan dalam RMK 10 dengan kos RM 75juta. JKR berjanji akan mulakan fasa pertama sebelum pilihanraya akan datang. Pekan Batu Kurau, Ijok, Sungai Bayor Selama akan dibangunkan semula.
Akhir kata Dr Zamry mengumumkan satu lagi lebuhraya bertol berharga RM 2 billion telah dicadangkan oleh sebuah syarikat tempatan dan luar negara ia akan bermula dari Jelapang Ipoh-Trong - Anak Kurau - Ijok - Selama - Kulim dan Sungai Petani. Harap ia dapat menjadi kenyataan.