BUKIT  MERTAJAM - Ketua Menteri, Lim Guan Eng hanya pandai bercakap dan mencari  kesalahan orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri.
Ketua  UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk MUsa Sheikh Fadzir berkata, dalam  tempoh dua tahun selepas menang pilihan raya umum lalu, Kerajaan Negeri  di bawah pimpinannya gagal melaksanakan sebarang projek yang boleh  dibanggakan untuk rakyat negeri ini.
“Apa yang dia tahu ialah  mencari kesalahan orang lain. Dia bukan ada kerja kerana setiap hari dia  hanya korek sana, belek sini untuk tengok apa kesilapan orang lain.
“Semua  orang lain buat adalah salah dan silap. Hanya dia seorang yang betul  dan tidak buat kesilapan. Terbaru, dia menyalahkan Pegawai Kemajuan  Negeri, Nik Ali Mat Yunus sebagai orang yang bertanggungjawab  menyebabkan pembaziran setelah pintu gerbang Taman Botani akan  dirobohkan oleh Kementerian Pelancongan akibat dibantah pelbagai pihak  di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, sepatutnya  Kerajaan Negeri bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan melaksanakan  pelbagai projek pembangunan dan kemudahaan asas untuk rakyat Pulau  Pinang.
“Dia nak macam-macam daripada Kerajaan Persekutuan tetapi  dalam masa yang sama, dia asyik dok hentam mereka. Itu tak betul, itu  rasuah. Kalau dok bergaduh dengan orang, macam mana orang nak tolong  dia.
“Kalau nak harap Kerajaan Negeri, tak tahulah bila projek  pembangunan boleh dilaksanakan. Sekarang ini, kita belum nampak apa-apa  pun daripada mereka,” katanya.
Musa yang juga Ketua Penerangan  UMNO Pulau Pinang berkata tidak perlu baginya membangkitkan projek besar  tetapi cukup dengan mengambil contoh membantu penduduk membina semula  rumah mereka.
Setakat ini, katanya, tiada peruntukan yang dilihat  disediakan Kerajaan Negeri untuk membina atau membaiki rumah penduduk  miskin di kawasan luar bandar.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN)  walaupun menjadi pembangkang di Pulau Pinang sudah membina 52 rumah di  sekitar Bukit Mertajam sahaja manakala 20 lagi dalam proses.
“Kerajaan  Negeri pula buat apa? Saya dengar mereka membina sebuah rumah di  kawasan Tok Kun sebab itu kawasan ketua pembangkang di Parlimen  sedangkan BN membina tujuh di kawasan berkenaan,” katanya.
Sehubungan  itu, Guan Eng perlu melaksanakan semua janjinya dalam pilihan raya  serta melaksanakan projek pembangunan kerana rakyat memberi amanah dan  tanggungjawab kepadanya sebagai kerajaan di Pulau Pinang.
“Sekarang  rakyat nak tengok apa dia boleh buat dan bukan nak dengar apa dia  cakap. Tak perlulah memasukkan risalah propaganda dan kad laporan  Kerajaan Negeri dalam setiap peti surat di rumah penduduk sedangkan  hanya janji kosong,” katanya.
