Khamis, 12 Ogos 2010

KPPTMB berpiket di hadapan ibu pejabat KTM: APA KESUDAHANNYA?

Hari ini ETS mula beroperasi KL-Ipoh...harap tak ada masalah semoga semua selamat



Kira-kira 300 orang anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPTMB) berpiket di hadapan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berikutan tindakan syarikat itu menubuhkan sebuah anak syarikat sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS) seliaannya.

Anggota kesatuan itu mula berkumpul di stesen komuter Kuala Lumpur pada jam 5.00 petang ini dan kemudiannya berarak mengikut laluan bawah tanah dan berkumpul semula di hadapan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin.

xxxxxxxxxxxxxxxxx




Desakan itu dibuat selepas KPPKTMB semalam secara rasminya mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Dr Aminuddin kerana mendakwa beliau gagal menggalas tanggungjawab memajukan KTMB sepanjang 10 bulan menjadi presiden.


Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata, tindakan itu susulan daripada kedegilan pengurusan KTMB untuk meneruskan perancangan menubuhkan anak syarikat bagi mengendalikan Set Tren Elektrik (ETS) biarpun ia dibantah KPPKTMB.

Malah, katanya, Aminuddin turut gagal mencari jalan penyelesaian mengenai bantahan KPPKTMB yang dibangkitkan sejak November lalu sebaliknya bersikap tidak profesional dengan menjadikan kesatuan itu sebagai seteru dan enggan mengambil kira pandangan kesatuan.

“Dr Aminuddin tidak layak menjadi Presiden KTMB dari segi apa yang berlaku hari ini, hubungan dengan persatuan hancur, beliau tidak faham undang-undang membabitkan pekerja dan komen orang luar dan pengguna mengenai KTMB (kegagalan perkhidmatan).

“Presiden KTMB tidak mampu menjalankan tugas adalah lebih baik meletak jawatan. Jangan merugikan KTMB, jangan merosakkan nama baik kerajaan dan jangan jadikan rakyat sebagai mangsa keadaan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat RUM di sini, semalam.

Katanya, sehubungan itu, KPPKTMB akan mengambil tindakan selaras dengan undang-undang yang dibenarkan sekiranya tiada maklum balas diberi pihak pengurusan. Malah, satu resolusi menolak kepemimpinan Aminuddin juga akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu hadapan.

Menurutnya, bagaimanapun, KPPKTMB pada peringkat awal bakal menggerakkan seluruh ahlinya untuk mengadakan piket sebagai tanda protes terhadap penubuhan anak syarikat milik penuh KTMB, ET Sdn Bhd pada hari pelancaran ETS pada Julai ini.

Abdul Razak berkata, keputusan untuk menubuhkan anak syarikat berkenaan adalah amat tidak wajar dan kurang bijak kerana pelaksanaannya bakal menghakis faedah pekerja dan menjadi landasan kepada penubuhan anak syarikat lain di bawah KTMB.

“ETS adalah perniagaan teras KTMB, dan ETS hanya lima set saja ia sangat tidak wajar untuk menubuhkan anak syarikat. Penubuhannya hanya akan mengakibatkan hasil pendapatan KTMB mengalir kepada anak syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPPKTMB juga membantah sekeras-kerasnya cadangan pengurusan untuk memindahkan operasi Ibu Pejabat KTMB ke bangunan baru bagi menyerahkan bangunan sedia ada kepada pihak swasta kerana ia hanya meningkatkan kos, sekali gus merugikan KTMB.

Beliau mencabar Dr Aminuddin untuk mengadakan debat terbuka dengan pihaknya sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan isu ini supaya ia dapat dinilai kakitangan KTMB dan rakyat.