Polis negeri sudah menerima dua laporan mengenai isu itu iaitu yang pertama dibuat di Balai Polis Butterworth dan satu lagi di Balai Polis Tasek Gelugor.
Sehingga kini 15 orang saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 A, Akta Hasutan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.
Kejadian pertama dipercayai berlaku pada bulan Jun di Masjid Jamek Padang Menora, sewaktu khutbah sembahyang Jumaat oleh seorang Khatib jemputan dan terbaru yang dipercayai berlaku pada 20 Ogos di Masjid Kubang Buaya, Butterworth, Khatib yang sama membacakan doa seperti berikut:
"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang"
Ketua Polis Pulau Pinang Tuan Hj Ayub yang pernah dikritik hebat oleh Guan Eng berkata beliau ingin memperingatkan kepada semua pihak supaya jangan menggunakan platform yang ada seperti ini untuk memecah-belahkan rakyat atau memecahkan perpaduan yang ada sekarang.
"Peranan yang sepatut dimainkan oleh masjid adalah untuk mengurangkan gejala sosial dan menyatu-padukan rakyat," katanya.
Khamis lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan tentang wujudnya penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat yang dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong