History Channel siar dua dokumentari zaman darurat sempena merdeka
MERAIKAN ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara, berapa ramai di antara kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan dan kebebasan sebenar? Saban tahun, setiap kali tibanya 31 Ogos, laungan merdeka tidak mencukupi tanpa diiringi keinsafan dan iltizam meneruskan legasi Malaysia sebagai negara berdaulat.
Sesuai dengan sambutan bulan kemerdekaan, History Channel membawa penonton dua dokumentari menarik yang mengimbas kembali zaman darurat dan kepayahan dihadapi perajurit negara ketika berdepan ancaman komunis.
AETN All Asia Networks yang bertanggungjawab dalam operasi History Channel bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi merealisasikan penghasilan dua dokumentari The Malayan Emergency dan Vat 69: Malaysia’a Very Able Troopers, yang boleh dianggap dokumentasi sejarah negara.
The Malayan Emergency dan Vat 69: Malaysia’s Very Able Troopers antara lain memberi perspektif berbeza dalam paparan cerita bersejarah di mana penonton seolah-olah turut bertempur menentang ancaman komunis pada 1948 dan sekitar 1969.
Pengarah Urusan FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim, berkata FINAS sangat berbangga dapat bekerjasama dengan AETN All Asia Networks dalam pembikinan dua projek dokumentari yang secara tidak langsung memaparkan sejarah Malaysia untuk ditonton masyarakat Asia.
Mohd Mahyidin berkata, dokumentari itu juga dapat membuka lembaran dan perspektif rakyat Malaysia berhubung peristiwa penting dalam lipatan sejarah negara sebelum dan selepas merdeka.
“Lebih-lebih lagi, perjuangan anggota keselamatan menentang komunis di hutan dan kawasan pedalaman dipaparkan sebaik mungkin dalam dua dokumentari itu. Ini sekali gus memaparkan maklumat dan pengalaman kehidupan pada zaman darurat yang harus difahami semua generasi,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.
Sementara itu, pengarah dan jurukamera The Malayan Emergency, Harun Rahman, berkata bukan kerja mudah bagi tenaga produksi merealisasikan dokumentari yang memaparkan ancaman komunis ketika era sebelum merdeka hingga berlakunya darurat akibat pemberontakan komunis.
“Kita cuba paparkan perspektif pasukan keselamatan kita yang terbabit dalam kejadian darurat menentang tentera komunis di Tanah Melayu ketika itu.
“Malah, untuk paparan lebih seimbang, kami juga menemuramah bekas anggota komunis yang terbabit dalam pemberontakan itu bagi berkongsi pandangan peribadinya ketika kejadian,” katanya yang mengadakan lebih 50 temuramah tetapi hanya dapat menyiarkan kira-kira 31 slot berikutan tayangan dokumentari hanya dua jam saja.
Menceritakan cabaran pembikinan The Malayan Emergency yang mengambil masa kira-kira setahun, Harun berkata, selain perlu menjalankan kajian dan penyelidikan tambahan, sukar bagi tenaga produksi menemuramah bekas anggota pasukan keselamatan memandangkan faktor usia dan keuzuran mereka.
Pada masa yang sama, katanya, kebanyakan daripada perajurit yang terbabit sepanjang 12 tahun tempoh darurat bermula 1948, sudah meninggal dunia. Ini mengakibatkan produksi perlu mengambil strategi lain untuk memastikan jalan cerita tidak terjejas.
Manakala, dokumentari Vat 69: Malaysia’s Very Able Troopers pula menceritakan pengorbanan pasukan pasukan elit komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan selepas darurat iaitu pada 1969 bagi menentang sisa perjuangan komunis di Semenanjung.
Menariknya, dokumentari selama dua jam itu turut membawa penonton menilai perjuangan pahit getir pasukan komando bertempur, berjuang dan melakukan serangan hendap bagi menamatkan sisa-sisa perjuangan pengganas komunis sebelum akhirnya genjatan senjata dicapai pada 1989.
Dokumentari The Malayan Emergency akan ditayangkan mulai esok jam 8 malam, manakala dokumentari Vat 69: Malaysia’s Very Able Troopers pula disiarkan pada 22 Ogos jam 8 malam.
Komen
“DOKUMENTARI ini berupaya meningkatkan imej polis terutama di kalangan generasi muda untuk menyelami pelbagai cabaran dan getir yang pernah kami hadapi ketika zaman darurat pada 1969.
Hamzah Hashim, 64, bekas anggota Vat 69
“SAYA cukup berbangga dengan penghasilan dokumentari ini yang dapat mengenang kembali usaha dilakukan anggota komando yang dibentuk pada 1969 selama empat tahun dalam memerangi komunis.
“Apabila dokumentari ini dihasilkan, sekurang-kurangnya dapatlah masyarakat menghayati pengorbanan 158 anggota yang dibentuk dalam Vat 69.”
Ahmad Dahalal Hashim, 62, Vad 69