Bisik-Bisik Mingguan
KEANGKUHAN Anwar, Wan Azizah dan Azmin Ali mahu ketuanan Melayu dihapuskan mengundang reaksi lebih panas. Tiada siapa terkejut, itu memang strategi Anwar untuk melonjakkan lagi sokongan bukan Melayu agar cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai.
Seandainya beliau berkuasa, kes liwatnya yang kini sentiasa cuba ditangguhkan (pecah rekod dunia), dapat digugurkan. Maka terselamatlah Anwar.
Lebih mengukuhkan strateginya ialah kenyataan ketua pembangkang itu untuk melantik pemimpin DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Yang terperangkap akhirnya ialah Pas. Para pemimpin parti itu mula berbalah. Ada yang menentang dan ada yang memang pro-Anwar dan DAP seperti Nik Aziz Nik Mat, menyokong.
Awang hairan Pas yang lebih berpengaruh berbanding PKR dalam mendapatkan sokongan akar umbi umat Islam dan orang Melayu untuk pakatan pembangkang, dinafikan sumbangan.
Mengapa Presiden Pas, Hadi Awang atau mana-mana pemimpin Pas tidak layak menjadi Timbalan Perdana Menteri? Padahal pemimpin Pas lebih wajar menjadi Perdana Menteri berbanding Anwar, yang tidak layak menerajui kerajaan kerana isu moral.
Seorang pemimpin muda Pas yang anti Anwar - Kit Siang selalu menarik perhatian Awang agar merenung wajah ketua pembangkang itu, jernihkah atau keruh? Awang tidak pandai hal seperti itu dan tidak teruja pun untuk merenung. Tetapi persoalan yang cuba disampaikan apakah Pas sanggup membiarkan negara menghadapi musibah besar angkara menyokong pemimpin jenis itu? Songsanglah Malaysia jadinya. Sejarah Islam seharusnya menjadi pedoman, bukan untuk dibiarkan berulang.