PADA bulan Ogos lalu, Profesor Hashim Musa dan pasukannya dari Universiti Putra Malaysia telah mencipta perisian 'HB Melayu - Sejauh Mana Anda Melayu?' yang mengandungi 200 soalan untuk mengukur ciri-ciri bangsa Melayu.
Profesor Melayu tersohor itu telah berjaya membangunkan perisian dalam bentuk cakera padat dan laman web yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang ingin memastikan kemelayuan mereka. Item-item ukuran dibina berasaskan komponen pendidikan, ilmu, nilai dan agama yang dirangkumkan menjadi 26 teras hati budi (HB) kaum Melayu.
Jika perisian ini sudah berada di pasaran, eloklah digunakan untuk menilai semula kemelayuan orang yang selama ini mengaku Melayu tetapi sejak akhir-akhir ini begitu ghairah menolak ketuanan Melayu.
Kita tahu niat mereka memanglah bagi memperoleh faedah-faedah dari segi sosiopolitik, dan sosioekonomi daripada kaum- kaum bukan Melayu.
Justeru, sebelum saranan pelbagai pihak supaya orang Melayu sedemikian diusir, darjah dan pingat kebesaran mereka diserahkan dan pelbagai lagi cadangan yang bakal menyusul, seperti biasa lebih wajar masyarakat Melayu amnya, bertoleransi sedikit dengan memberi ruang untuk memastikan sama ada mereka itu adalah benar-benar Melayu.
Secara mata kasar, jelas dari segi fizikal orang Melayu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail misalnya, tidak tulen Melayu. Anwar sedikit kelihatan seperti orang India, malah disamakan dengan hero filem Tamil, Sivaji oleh sebilangan anggota partinya sendiri.
Wan Azizah pula sangat mirip seperti orang Cina, malah jika tidak bertudung dan berjalan-jalan di Petaling Street, sudah tentu tidak siapa yang akan perasan bahawa beliau adalah Wan Azizah!
Dari segi tidak-tanduk dan sikap kedua-duanya pula, ternyata Tuanku Sultan Selangor pun sudah naik 'murka' kerana mereka mempertikaikan ketuanan Melayu. Kemurkaan Tuanku amat ketara kerana hanya selang sehari sahaja ikrar Wan Azizah dan Anwar untuk tidak meneruskan ketuanan Melayu, Tuanku sudah membalas kenyataan mereka dengan titah yang amat keras itu.
Situasi itu menggambarkan betapa tidak Melayunya sikap mereka sehingga Tuanku pun sanggup mencemar duli untuk 'turun tangan'. Namun begitu, penilaian sedemikian tidaklah akademik sifatnya, malah boleh dilihat penuh prejudis.
Jadi lebih baik gunakan perisian yang telah dibangunkan itu untuk menilai sejauh mana mereka itu Melayu. Setelah itu, barulah keputusan dibuat sama ada untuk mengusir atau menarik balik anugerah dan manfaat yang telah mereka nikmati selama ini sebagai orang Melayu.
Jika hasil penilaian itu mendapati mereka bukanlah tulen Melayu, maka haruslah orang Melayu amnya memaafkan mereka seperti kita 'memaafkan' Namawee.
Hal itu tidaklah menjadi masalah sangat kerana dalam hal-ehwal yang berkaitan dengan agama Islam pun, segelintir orang Melayu pernah 'memaafkan' Nga Kor Ming, N. Gobalakrishnan dan yang terbaru K. Subramaniam yang 'mentafsir ayat-ayat suci al-Quran'.
Bukankah mereka bukan Melayu dan bukan Islam? Jadi sewajarnyalah kita memaafkan kejahilan mereka seperti tindakan yang telah diambil oleh Pas dan PKR.
Orang Melayu kini lebih rasional dan terbuka, walaupun sedikit masa dahulu, Sasterawan Negara (SN) Usman Awang ada menyebut bahawa orang Melayu "jika marah tak nampak telinga, musuh dicari ke lubang cacing, tak dapat tanduk telinga dijinjing, maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan."
Sudah sampai masanya orang Melayu bertindak atas pertimbangan rasional supaya kita tidak diketawakan dan ditempelak; 'seperti ketam mengajar anak berjalan betul.'
Kewujudan perisian yang sudah dihasilkan itu sangat tepat pada waktunya. Banyak pihak yang cuba mengajar orang lain menjadi Melayu, tetapi pada masa yang sama mereka menampilkan perwatakan yang boleh dipertikaikan kemelayuannya.
Sebelum ciri-ciri Melayu menjadi semakin bercelaru dan dicelarukan, 'buah tangan' Profesor Hashim itu boleh digunakan untuk memastikan orang Melayu 'balik ke pangkal jalan'.
Masih banyak pemimpin Melayu misalnya yang bermain dengan retorika sehingga kaum lain juga perasan bahawa orang Melayu hanya melatah-latah sesama sendiri!
Kini bukan masanya untuk 'kokok berdegar-degar, ekor gelumang tahi'. Kata SN Usman lagi; "jadilah bangsa yang bijaksana, memegang tali memegang timba."
Dr. Sharifudin Lubis
Universiti Putra Malaysia