Rabu, 16 Februari 2011

Anwar perlu dedah pembiaya kos operasi pejabatnya di Washington

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan sumber kewangan yang diperolehnya untuk mengendalikan sebuah pejabat di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menelan kos operasi kira-kira RM6 juta (AS$2 juta) setahun.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman mendakwa, jumlah kos operasi pejabat itu yang didaftarkan dengan nama Anwar Ibrahim Consulting Associate adalah besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh Anwar yang hanya berjawatan Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.

Malah, katanya, pejabat tersebut turut mengambil lima orang pekerja yang terdiri daripada golongan muda dan ada di antaranya warga Pakistan dan Turki yang menetap di AS dengan gaji mencecah lima angka sebulan dalam mata wang AS.

"Bayangkan Anwar mempunyai sebuah pejabat di Washington. Saya lihat perbelanjaan bagi pejabat itu bagi 2006 hingga 2007 hampir RM6 juta.

"Mana dia dapat duit sebanyak ini dan dari sumber mana dia perolehnya atau siapakah yang membiayai kos operasi pejabat itu? Saya yakin ramai pemimpin dalam PKR tidak tahu akan hal ini.

"Dalam ceramah, dia cakap tidak ada duit, minta sumbangan dan sebagainya. Dia harus jelaskan mengenai perkara ini," dakwanya ketika berucap pada majlis ceramah mengenai isu-isu semasa di Kampung Jalan Kebun di sini malam tadi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Ir. Kamaruzaman Johari dan Ummi Hafilda Ali.

Sementara itu, Mohamad Satim ketika berucap turut mencabar kerajaan negeri pimpinan PKR yang mana Anwar menjadi Penasihat Ekonomi Selangor supaya mendedahkan perbelanjaan yang dilakukan dalam melantik dua perunding luar untuk merangka draf pindaan Perlembagaan Negeri berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebelum ini.

Katanya, pindaan itu yang dibuat menerusi sidang Dewan Undangan Negeri pada Januari lalu adalah satu tindakan sia-sia.

Menurutnya, pelantikan pengamal undang-undang, Datuk Param Cumaraswamy dan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Malaysia (UIA), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari untuk merangka draf pindaan itu hanyalah satu pembaziran kewangan kerajaan negeri.

Ini kerana, katanya, kerajaan negeri sepatutnya hanya merujuk pindaan tersebut kepada Penasihat Undang-undang Negeri untuk menentukan sama ada perkara itu boleh dilakukan atau sebaliknya.

"Jadi kita mahu kerajaan negeri dedahkan berapa wang rakyat digunakan untuk bayar kepada kedua-dua perunding tersebut.

"Pindaan Perlembagaan negeri tidak menjadi kenyataan kerana tidak cukup syarat yang ditetapkan, maka ia adalah satu tindakan membuang masa dan pembaziran wang rakyat," katanya.