Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dipetik berkata selepas mesyuarat itu, sebagai parti Islam, keutamaan PAS adalah mempertahankan kesucian Islam dan ia tidak akan berkompromi apabila berhadapan isu seperti itu. "Kami mengambil pendirian bahawa jika JAIS ada bukti secukupnya, mereka harus mengambil tindakan segera ke atas mereka yang mahu menukar agama orang Islam atau merosakkan kepercayaan Islam mengikut peruntukan Enakmen Islam Negeri Selangor," katanya.
Mohamad bagaimanapun berkata, PAS hanya akan menyokong tindakan JAIS jika ia ada bukti kukuh wujudnya usaha mahu memurtadkan orang. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut hadir, ketika ditanya sama ada parti itu merestui serbuan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pula berkata, 'tidak.' Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar menggesa JAIS mempercepatkan siasatan bagi mengelak pelbagai spekulasi mengenai isu ini.
Kerana pendirian itu dibuat oleh biro politik, sudah tentu keputusan dan kenyataan mengenainya mengambil kira kepentingan politik PAS, terutama membabitkan hubungan parti itu dengan dua sekutu politiknya di Selangor. Itulah sebabnya kenyataan Mohamad itu dilihat agak berlapik, seolah-olah bagi memuaskan hati pihak yang berbeza pandangan mengenai tindakan JAIS itu.
Pendirian itu juga bagaikan PAS meletak syarat kepada JAIS jika mahu mendapat sokongannya berhubung isu usaha memurtadkan orang Islam, tetapi tidak merestui pemeriksaan JAIS bagi menyiasat dakwaan mengenainya di DUMC pada 3 Ogos lalu. Dalam kata lain, jika tiada bukti kukuh, hanya JAIS yang bertanggungjawab. Keputusan mesyuarat itu juga memberi gambaran bahawa PAS tidak lagi percaya atau menerima penjelasan Datuk Dr Hassan Ali, Exco yang menjaga ehwal-Islam di Selangor, mengenai perkara ini.
Kenyataan Mohamad itu juga seolah-olah memberi tekanan kepada JAIS supaya segera mengemukakan bukti sedangkan siasatan kes seumpama ini tentunya mengambil masa. Yang jelas, JAIS setakat ini gagal mendapat kerjasama 12 individu Islam yang hadir pada satu majlis di DUMC pada malam itu, walaupun mereka sudah dihubungi menerusi surat dan telefon untuk memberi keterangan. Keengganan mereka memberi kerjasama, menyukarkan JAIS mengambil tindakan dan inilah dikehendaki oleh kalangan tertentu yang mengecam agensi itu.
Walaupun ada pihak menggembar-gemburkan kononnya pemeriksaan itu dibuat tanpa mengikut undang-undang, manakala pegawai JAIS dan polis bertindak kasar, setakat ini tiada pihak terutama daripada gereja itu sendiri membuat laporan polis mengenainya. Ini agak aneh kerana kebiasaannya ramai berebut untuk membuat laporan jika ada agensi penguat kuasa bertindak di luar undang-undang.
Apakah ketiadaan laporan polis mengenai 'serbuan' JAIS yang dikecam hebat itu bererti ada sesuatu cuba disembunyikan. Yang pasti, 'serbuan' JAIS itu mendedahkan satu lagi perlanggaran undang-undang oleh DUMC, iaitu pembinaan gereja berkenaan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan, pihaknya sebelum ini hanya meluluskan pembinaan pusat komuniti seperti dipohon oleh DUMC, bukannya gereja di tapak itu.
Kebiasaannya jika terbukti wujud kesalahan penyalahgunaan kelulusan pembinaan, bangunan yang dibina itu boleh disita atau di sesetengah tempat seperti Pulau Pinang tidak lama dulu, dirobohkan. Kita tidak tahu sama ada Majlis Bandaraya Petaling Jaya mempunyai keberanian berbuat demikian selepas melihat nasib yang menimpa JAIS apabila ia cuba melakukan tugas mereka, walaupun mengikut undang-undang.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.