Ahad, 7 Julai 2013

Utusan: Cina anggap pemberian tidak cukup dan mahu rampas kuasa Melayu



Oleh Md Izwan

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menunjukkan masyarakat Cina mengganggap nikmat yang mereka perolehi belum mencukupi, kata akhbar Utusan Malaysia selain mendakwa parti majoriti Cina, DAP merancang merampas kuasa orang Melayu menerusi kerjasama PKR dan PAS.

Penulis rencana akhbar itu, Dr Alias Mohamed mendakwa kaum Cina sudah mencapai matlamatnya menerusi saluran MCA tetapi kini mengabaikannya kerana mahu menentukan hala tuju mereka sendiri.

"Selepas mendapat kerakyatan dan kemudiaan kuasa ekonomi yang dominan, orang Cina mengganggap apa yang diberi orang Melayu tidak mencukupi. Seperti orang Cina di negara lain yang bilangannya dominan seperti di Singapura, hakikatnya mereka ingin menentukan destini mereka sendiri," kata Dr Alias yang dipetik dalam artikel "Strategi politik kaum Cina" di ruangan rencana Utusan Malaysia hari ini.

Beliau menuduh kaum Cina mahu merampas kuasa masyarakat Melayu dan parti DAP adalah dalang utama dalam mencapai matlamat itu, ia boleh dilihat menerusi penguasaan kerusi di kawasan bandar.

"DAP mewarisi ideologi politik sama rata Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura), mereka sedar kekuatan mereka bergantung di bandar. Oleh itu, mereka menggunakan propaganda 'Malaysian Malaysia' untuk mengadu-dombakan doktrin kesamarataan dalam masyarakat walaupun Malaysia dibina atas asas sejarah pribumi dan sistem politik serta komposisi kaum yang berbeza dengan Singapura," katanya.

Selain itu, Dr Alias berkata, untuk mencapai matlamat itu DAP sedar mereka memerlukan pertolongan daripada parti pembangkang Melayu khususnya PKR dan PAS kerana hanya dengan cara itu ramai Ahli Parlimen akan menyeberang dan sertai gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

"Orang Cina sedar mereka tidak akan berjaya menguasai negara ini dalam jangka masa singkat, khususnya tanpa sokongan parti pembangkang Melayu seperti PAS dan PKR. Mereka berharap kuasa akan jatuh ke tangan mereka selepas berlaku huru-hara atau kucar-kacir di Parlimen yang menyebabkan Ahli Parlimen BN melompat ke rakit DAP," katanya yang merujuk kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Mac 2012 yang memetik mengatakan partinya berpuas hati jika memperoleh 100 kerusi Parlimen daripada 222.

Dr Alias turut memberikan amaran kealpaan pemimpin Melayu dalam kerajaan yang sibuk membangun dan memajukan kawasan luar bandar akan memakan diri sendiri kerana apabila masyarakat Cina akan berhijrah ke kawasan itu serta kemudiaanya menguasai ekonomi sekitarnya.

"Dalam jangka panjang, mereka (DAP) berharap akan berlaku perubahan besar dalam demografi penduduk akibat kealpaan pemimpin Melayu dalam parti pemerintah yang terus memperhebat pembangunan bandar dan luar bandar yang sekaligus menggalakkan peningkatan serta perpindahan penduduk Cina ke kawasan berkenaan," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan sebaik sahaja keputusan PRU13 diumumkan, kerajaan baru BN akan memulakan perdamaian kebangsaan, sebagai usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia, selepas apa yang beliau gambarkan senagai “tsunami Cina” dalam pilihan raya umum itu - menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding PRU12 pada 2008.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia, selepas berakhir pilihan raya 5 Mei lalu turut mengeluarkan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” sebagai tindakan menunjukkan keputusan pilihan raya dibentuk oleh kaum Melayu menentang kaum Cina.

DAP memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13, apabila memenangi 38 daripada 51 kerus.

BN hilang undi popular buat pertama kali semenjak 1969 ketika mereka masih Perikatan.

BN juga hilang lagi tujuh kerusi Parlimen kepada PR. BN mendapat 133 kerusi sementara PR mendapat 89 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013. - 6 Julai, 2013.