Enam puluh bekas anggota PKR yang meninggalkan parti itu sejak empat tahun lepas masih tersenarai sebagai pengundi untuk pemilihan jawatan dalam parti itu.
Bekas Ketua Ranting PKR Taman Permai, Klang, A.Prakash mendakwa perkara itu dilihat boleh membuka peluang kepada pihak tertentu untuk memasukkan nama bekas anggota parti terbabit sebagai pengundi hantu.
“Mereka menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Barisan Nasional gunakan pengundi hantu tetapi PKR lebih teruk. Mereka sepatutnya memadamkan nama anggota yang telah keluar parti tetapi selepas diperiksa nama kami masih ada dalam sistem (senarai anggota),” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata kira-kira 30 anggota PKR dari ranting itu dan 30 lagi dari Ranting Kota Pendamar, Klang, menerima surat daripada parti yang meminta mereka supaya keluar mengundi pada pemilihan kali kedua.
“Ini boleh menyebabkan berlaku penyelewengan dan cubaan untuk menambah undi berikutan pengiraan undi akan dibuat di ibu pejabat PKR dan keputusan pemilihan hanya akan diketahui dua hari selepas pengundian,” katanya.
Prakash turut membangkitkan mengenai kemungkinan ada pihak yang menanggung yuran keanggotaan bagi beliau dan bekas anggota PKR lain berjumlah RM2 setahun bagi mempastikan keanggotaan mereka terus aktif.
Sehubungan itu, beliau mendesak kepimpinan tertinggi parti supaya memadamkan nama beliau dan bekas anggota lain daripada senarai anggota parti sebelum pihaknya mengambil tindakan selanjutnya.
“Kami akan hadir pada pemilihan parti bahagian Klang Ahad ini untuk memeriksa sama ada nama kami masih berada dalam senarai pengundi dan jika mereka masih tidak memadamkan nama kami, kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis,” katanya.
Sebanyak 35 cabang PKR mengadakan pemilihan semula selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat membatalkan proses itu atas alasan wujud elemen mensabotaj parti seperti merempuh masuk ke dalam dewan pengundian dan menimbulkan kekecohan.