Rabu, 23 Mac 2016

Isu Tuduhan liar Rafizi terhadap LTAT

Kenyataan Media
YB Senator Laksamana Tan Sri Dato' Setia Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor (Bersara)
Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera

Tuduhan Liar Terhadap LTAT

Kuala Lumpur, 22 Mac 2016


Merujuk kenyataan YB Rafizi Ramli semalam (21 Mac 2016) berhubung pembayaran gratuiti kepada ahli-ahli anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan dan projek pemindahan Pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang dikendalikan oleh Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Berhubung projek pemindahan Pangkalan TUDM di Sungai Besi, pihak PPHM yang juga anak syarikat milik penuh LTAT telah memperoleh segala pembayaran daripada 1MDB. Pada masa yang sama, LTAT juga telah membuat pembayaran kepada kontraktor-kontraktor mengikut jadual.

Manakala berhubung pembayaran gratuiti oleh LTAT kepada ahli-ahli anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan, semua permohonan lengkap yang telah diterima oleh LTAT dari Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) Kementerian Pertahanan telah diproses dan semua pembayaran telah selesai dibuat kepada ahli.

LTAT ingin menjelaskan bahawa soal pembayaran gratuiti kepada ahli-ahli anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan tidak mempunyai kaitan langsung dengan sebarang perkembangan dan perjalanan projek pemindahan Pangkalan TUDM di Sungai Besi. Ia adalah perkara yang berbezaa. Justeru, tindakan YB Rafizi yang cuba mengaitkan kedua-dua perkara ini adalah berniat jahat.

Ahli-ahli anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan dan ingin mengeluarkan wang simpanan, boleh menghubungi LTAT di talian1-300-88-5828 atau ke Kaunter LTAT, Tingkat Bawah, Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan. Sila bawa borang yang telah dilengkapkan dan dokumen-dokumen sokongan. Pembayaran akan dibuat dalam masa 24 jam selepas dokumen lengkap diterima sesuai dengan KPI yang telah ditetapkan oleh LTAT.

LTAT sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan pembayaran yang efisien  kepada ahli-ahli.

Dengan penjelasan ini, jelas sekali YB Rafizi Ramli telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar serta mengelirukan. LTAT akan berbincang dengan peguam syarikat untuk menyaman YB Rafizi Ramli berhubung kenyataan beliau yang mampu menjejaskan reputasi dan kredibiliti LTAT.

=tamat=