Sabtu, 23 April 2016

MOF Malaysia tidak campur tangan

KUALA LUMPUR, April 23 ― Kementerian Kewangan hari ini menyatakan bahawa mereka tidak akan mencampuri pertelagahan di anatara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi, berkenaan siapa yang harus membayar hutang berjumlah US$50 juta (RM195.32 juta) pada hari Isnin ini. 

Portal akhbar Malaysiakini melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata bahawa Putrajaya mengambil perhatian terhadap isu ini, namun menganggap ianya semata-mata pertelingkahan perniagaan yang biasa di antara firma pelaburan Kerajaan Malaysia dan pihak pengurusan dana kekayaan UAE.

"Kita memberi peluang kepada 1MDB dan IPIC untuk menyelesaikan masalah tersebut sesama mereka," katanya ketika berucap di sebuah sidang akhbar di sini.

"IPIC telah memberi jaminan bon dan faedah. Secara jelasnya, sekiranya duit tersebut tidak sampai kepada pemegang bon, maka sesiapa yang memberi jaminan tersebut hendaklah bertanggungjawab. Namun, mereka juga akhirnya akan mendakwa 1MDB, maka 1MDB perlulah mencari jalan keluar untuk masalah ini," tambahnya lagi.

Johari juga menyatakan bahawa Kementerian Kewangan masih lagi belum berniat untuk campur tangan dan membayar US$50 juta nilai faedah daripada jumlah bon yang dikeluarkan oleh 1MDB iaitu US$1.75 bilion yang sepatutnya berakhir pada Isnin lepas, namun diberikan tempoh penangguhan sehingga Isnin depan. 

"Kami belum membayar apa-apa. Kami hanya telah membayar segala kadar faedah dan hutang yang ditanggung oleh kerajaan," jelasnya.

"Menurut apa yang kami ketahui, kita merupakan kerajaan yang bertanggungjawab. Apa sahaja yang melibatkan komitmen dan jaminan, kami akan pastikan kami tunaikannya," tambah Johari.

Akhbar US, The Wall Street Journal (WSJ) semalam melaporkan bahawa sekiranya bon berjumlah US$1.75 bilion itu, yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd., akhirnya diisytiharkan sebagai terbatal, kegagalan tersebut bakal memberi impak yang negative terhadap hutang sedia ada dan nilai matawang Malaysia.

WSJ juga melaporkan bahawa pembatalan tersebut, walau bagaimanapun adalah tidak mungkin berlaku dan kedua-dua pihak iaitu 1MDB dan IPIC mempunyai wang tunai yang cukup untuk membuat pembayaran faedah yang telah dipersetujui oleh kedua-duanya tahun lepas.

Namun begitu, agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan bahawa IPIC ada menyatakan pada hari Isnin lepas untuk menamatkan perjanjian yang dibuat pada Jun 2015 untuk menyalurkan US$1 bilion tunai kepada 1MDB dan untuk mengambil alih pembayaran hutang 1MDB sebanyak US$3.5 bilion, ditukar ke dalam bentuk aset.

IPIC ada menjelaskan ketika pemfailan bursa di London, bahawa 1MDB dan Kementerian telah gagal untuk memenuhi kewajipan mereka, termasuklah dalam pembayaran US$1.1 bilion termasuk faedah, yang kini telah dikira gagal.

- Lebih lanjut di: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/finance-ministry-to-let-1mdb-and-ipic-sort-out-us50m-dispute#sthash.dlZMrrag.dpuf

Diterjemah oleh : KKMM