Ahad, 24 April 2016

Terengganu sedia hadapi Pilihan Raya Negeri selepas Sarawak

Terengganu besar kemungkinan akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRN Sarawak apabila berlaku krisis Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan istana di samping kedudukan kerajaan negeri yang tidak stabil kerana jumlah Adun kerajaan dan pembangkang hampir sama.

Menurut sumber, kata sepakat hampir dicapai agar PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang ada di negeri itu. Namun, Ahmad Razif dikatakan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya ini.

"Possible (mungkin)," kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ketika diminta mengulas apa yang berlaku di negeri ini.

Jumaat kelmarin, Menteri Besar Ahmad Razif hilang semua anugerah kebesarannya apabila Istana Terengganu murka kepada beliau dan meminta agar semua anugerah itu diserahkan.

Ia berlaku ketika tidak ada pihak yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu apabila tiga Adun Umno yang diketuai bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said dikatakan menjadi Adun Bebas.

BN kini tinggal 14 Adun, PAS (14) manakala PKR (1) dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.

8 Mac lepas, Ahmad Said mengemukakan usul tidak percaya kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman namun usul itu ditolak oleh Speaker dari dibahas apatah lagi diundi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengarahkan Adun-adun PAS agar jangan masuk campur dalam isu ini (tidak menyokong usul Ahmad Said) manakala jentera PAS Terengganu pula diminta bersedia untuk hadapi pilihan raya.

Menurut Bernama, Pas Terengganu berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr. Alias Razak berkata, parti itu kini berada pada kedudukan yang sangat kukuh untuk menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya tersebut.

Menurutnya, Pas sedia hadapi tentangan sengit Barisan Nasional (BN) dan pendatang baru dalam pilihan raya iaitu Parti Amanah Negara.

"Walaupun kali ini Pas bersendirian tanpa PKR dan DAP, dengan keadaan UMNO dan BN yang makin celaru ini, kita yakin kita boleh menang dengan selesa sekali gus menawan semula Terengganu.

"Kita telah keluarkan arahan agar jentera di peringkat tertinggi hingga peringkat paling bawah bersiap sedia," katanya yang juga Adun Bukit Tunggal ketika dihubungi Bernama 18 April lepas.

PAS juga sedang menghadapi masalah untuk menang kerana parti itu berpecah membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas pemimpin progresif dan profesionalnya ditewaskan secara blok dalam Muktamar PAS tahun lalu.

Walaupun PAS Terengganu masih kuat tetapi sebahagian ahli mereka sudah meninggalkannya untuk menyertai Amanah.

Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah sudah meninggalkan PAS dan menjadi Pengerusi AMANAH negeri Terengganu.

Beliau disertai oleh beberapa bekas Adun PAS manakala beberapa Adun PAS sekarang dikatakan menyokong Amanah secara diam-diam.

Umno juga berpecah di Terengganu. Ahmad Said dan rakan-rakannya dikatakan menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gerakan Selamatkan Malaysia yang berkempen mahu Datuk Seri Najib berundur dari kerusi perdana menterinya.

4 ulasan:

  1. Setelah melihat apa yg berlaku kepada 1MDB (yg bermula-asal dari TIA), aku harap UMNO Trengganu dapat sedar apa yg telah, sedang dan mungkin akan berlaku jika Mohd Najib dibiarkan berleluasa.

    Ini adalah peluang yg baik untuk kembali kepada perjuangan yg sebenar untuk menuju ke jalan yg benar dan diredhai. UMNO masih UMNO dan Trengganu juga masih Trengganu, tanpa pengaruh luar yg mencemar. Bersatulah semula dan jadikan Trengganu negeri perintis dalam usaha menyingkir Mohd Najib dari takhtanya.

    Aku pasti bukan saja majoriti rakyat Trengganu akan menyokong tetapi juga memberi semangat kepada negeri2 lain juga.

    BalasPadam
  2. BN (khususnya UMNO) perlu berani dan menjaga maruah. Jika yakin rakyat Trengganu sokong BN (Umno), bubarkan DUN dan buat PR Negeri. Allah akan memenangkan pihak yg benar. Yakinlah

    BalasPadam
  3. BN (khususnya UMNO) perlu berani dan menjaga maruah. Jika yakin rakyat Trengganu sokong BN (Umno), bubarkan DUN dan buat PR Negeri. Allah akan memenangkan pihak yg benar. Yakinlah

    BalasPadam
  4. Insya Allah UMNO akan kekal menerintah Terengganu. Kita hairan istana Terengganu suka masuk campur dlm hal ehwal politik dn sengaja mahu pecah belahkan org Melayu.

    begitu byk lagi ahli korporat kepala rasuah yg bersekongkol dgn istana tp golgn ini tk pula ditarik darjah kebesaran. beri anugerah lepas tu ungkit2. tkpayah nk angkuh sgtlah atas dunia. Sultan yg adil kita sembah, tp Sultan yg dikelilingi samseng dan penyangak harus ditentang, apatah lagi Sultan yg jd alat perkakas musuh.

    Sultan pn akn mati mereput membusuk dalam kubur, hanya Amalan Soleh yg akn bezakan kita. jgn angkuh sombong atas dunia tnjuk kuasa.. ALLAH MAHA KUASA!

    BalasPadam