Jumaat, 8 April 2016

Rafizi cabar Ketua Polis bertanding di Pandan

Rafizi Ajak Ketua Polis Bertanding Pilihan Raya Di Kawasannya

8 APRIL : Sebaik sahaja dibebaskan dengan ikat jamin, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sudah mula buat perangai.

Seolah tak sedar dek untung, Rafizi menerusi laman Twitternya mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk bertanding di kawasannya, Pandan, pada Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.

Cabaran disuarakan Rafizi dengan mendakwa Khalid cuba bermain politik dengannya.

"Kalau IGP nak main politik mari bertanding di Pandan," menurut Twitter Ahli Parlimen PKR Pandan itu.

Sementara itu, Khalid menyifatkan dakwaan Rafizi bahawa beliau diarahkan supaya meletakkan tangannya di belakang seolah seperti digari sebagai salah satu standard operasi piawaian (SOP) sebagai satu cerita dongeng.

Tiada arahan dikeluarkan untuk Rafizi berbuat demikian ketika berada di dalam tahanan polis.

Sebaliknya tindakan Naib Presiden PKR itu dipercayai bertujuan meraih simpati orang ramai kononnya beliau dilayan seperti penjenayah yang perlu digari setiap masa.

Rafizi melalui akaun Facebooknya sebelum ini telah memuatnaik status berbunyi 'digari seperti penjenayah' sewaktu di bawa ke mahkamah, dipercayai cubaan menarik simpati orang ramai.

Status berkenaan bagaimanapun dipadamkan selepas dua jam ia dipaparkan.

Status itu kemudiannya diubah kepada 'Sdr Rafizi baru tiba di Istana Kehakiman Putrajaya, PERHATIAN : Malam ini kita berkumpul di depan Lokap Jinjang jam 9 malam solidariti #BebasRafizi, Sebarkan!!.'

Difahamkan status tersebut dimuat naik oleh pentadbir (admin) Facebook beliau sendiri.

Rafizi dibebaskan Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Lumpur dengan ikat jamin hari ini selepas didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas tuduhan fitnah jenayah kerana memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia rasmi kerajaan serta fitnah ke atas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), minggu lalu