Jumaat, 10 Jun 2016

Senario Kempen PRK Kuala Kangsar #KEKALBN



Kempen pilihanraya kecil di Kuala Kangsar amat menark antara Pan dan Pas. Ini kerana orang kuat Pan adalah Adun Changkat Jering manakala orang kuat Pas yang menjadi Pengarah Pilihanraya Kuala Kangsar pula adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang. Dun Changkat Jering berada dalam parlimen Bukit Gantang.

Sememangnya wujud konflik antara Nizar dan Idris.  Pas mahukan Nizar mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Pas tetapi Nizar yang juga Penyelaras Pan Perak enggan berbuat demikian walaupun telah melanggar baiah. 

Mengenai calon Pan Kuala Kangsar iaitu Dr Termizi, YB Idris Ahmad  juga memberi amaran supaya berhati-hati dan jangan menghentam Pas kerana Pas tahu sejarah Dr Termizi semasa dalam Ikram.

Menurut Idris, Salah satu perjanjian atau baiah ialah ahli Ikrim boleh menyertai Umno dan boleh meninggalkan Pas. 

Ikram wujud selepas JIM dimansuhkan pendaftarannya. Jim dan Ikram ini adalah NGO yang bergerak aktif di semua universiti tempatan. Pertubuhan ini juga condong menyokong Abim dan perjuangan Anwar Ibrahim. 

Mengenai rahsia yang lain, Idris belum berhasrat untuk mendedahkan, tetapi jika Pas terus diserang, rasanya semua rahsia calon Pan akan terdedah.

Seterusnya mari kita rujuk apa kata wartawan mainstream media




Barisan Nasional (BN) dilihat konsisten dalam strategi kempen mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, sekalipun calonnya menghadapi kekangan berkempen kerana dalam edah.

Walaupun menerima pelbagai tohmahan dalam laman sosial dan kempen untuk PRK itu, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid, jelas tenang, malah memaafkan mereka yang memfitnahnya.

Penganalisis Politik Negara dan Rantau Asia-Pasifik, Prof Madya Dr Baharuddin Aziz berkata walaupun Mastura tidak dapat turun padang, namun faktor dirinya sebagai balu kepada penyandang kerusi itu, dilihat memberi keyakinan penduduk Kuala Kangsar untuk memilihnya bagi meneruskan agenda pembangunan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar Wan Ahmad.

"Datin Mastura (calon BN) mempunyai kelulusan ijazah sarjana dalam bidang perundangan, sudah tentu beliau boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna.

"Namun ia memerlukan keikhlasan semua pihak untuk membantu beliau di samping memberi semangat serta motivasi untuk beliau memikul dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan sebaiknya," katanya yang juga Penyelia Tesis di Pusat Pengajian Siswazah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) kepada Bernama.

Dr Baharuddin berkata pengundi akan lebih melihat kepada hala tuju yang mampu dibawa calon yang bertanding daripada terpengaruh dengan pelbagai dakwaan tidak berasas. Semalam, Mastura dam satu sidang media di kediamannya, menggariskan lima agenda yang beliau akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar jika dipilih sebagai anggota Parlimen kawasan tersebut.

Katanya agenda itu adalah menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUiSAS) kepada universiti awam dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.

Selain itu, Mastura juga akan memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

"Semua senarai ini merupakan pemikiran arwah datuk (Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar Wan Ahmad) sendiri tapi tak kesampaian. Saya harap saya akan jadi ejen ke arah merealisasikan semua ini demi orang Kuala Kangsar," katanya.

Mastura juga jelas mendapat sokongan padu daripada semua jentera Barisan Nasional yang dilihat bersepadu membantunya berkempen, antaranya menerusi program kempen wanita Umno, Puteri Umno, Kempen Media Sosial oleh Biro Teknologi Maklumat Umno menerusi aplikasi Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter; selain sokongan padu parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Selain itu BN turut menggunakan tiga unit lori dilengkapi skrin LED yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik, bagi memudahkan interaksi pengundi dengan Mastura.

Sokongan anak-anak Mastura - Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19, yang turun padang mewakili ibu mereka untuk berkempen, juga dilihat sebagai penyambung hubungan Mastura dan masyarakat setempat.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, Pas, Amanah dan Bebas.

Kempen Amanah pula dilihat lebih mencetuskan kontroversi apabila kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Mastura, yang disifatkan biadap oleh banyak pihak.

Setelah dikecam pelbagai pihak, bekas menteri besar Perak itu akhirnya memohon maaf berhubung isu ceramahnya di Lembah Sayong, yang mengaitkan kematian suami Mastura itu sebagai balasan ALLAH.

Bagaimanapun Adun Changkat Jering itu tetap menyalahkan media yang didakwa menyalah tafsir ucapannya.

Mohammad Nizar dalam ceramahnya semasa berkempen untuk calon Amanah (Prof Dr Ahmad Termizi Ramli) yang bertanding di PRK itu dipetik berkata "ALLAH mahu orang Kuala Kangsar 'mengajar' (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar.

Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berceramah di Kampung Sayong Lembah baru-baru ini turut mengakui peluang mereka nyata sukar di PRK itu sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pengundi Pas.

"Kita tak kuat...jadi kita mengharapkan undi daripada Pakatan Harapan dengan ahli-ahli Pas sekali," kata Mohamad Sabu.

Pas pula nyata mahu berjuang sendirian apabila Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi dengan tegas berkata mereka akan meneruskan perjuangan tanpa perlu kerjasama daripada parti pembangkang lain.

Kempen Pas dilihat lebih fokus kepada kaedah meraih undi di kawasan-kawasan tumpuan ramai seperti bazar Ramadan, kawasan tumpuan awam dan kediaman penduduk sekitar Kuala Kangsar selain ceramah berskala kecil di beberapa kampung khasnya pada sebelah malam.

Calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad yang fasih berbahasa Mandarin pula dilihat terpaksa bekerja keras meraih pengundi orang Cina selepas parti itu tidak lagi bekerjasama dengan DAP.

Sementara itu calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang pada awalnya cuba membangkitkan isu gender, nyata mendapat kritikan banyak pihak apabila beliau 'terlupa' bahawa kawasan itu pernah diwakili tokoh wanita (Tan Sri Rafidah Aziz) selama tujuh penggal (sejak tahun 1986 hingga 2008).

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330). - Bernama