Selasa, 4 Oktober 2016

Keluaran terbaru Proton Saga 1.3 Liter lebih bergaya dan lebih efisien




PROTON Holdings Bhd secara rasmi telah melancarkan Proton Saga 1.3L generasi ketiga hari ini di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Selangor. 

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin. Mula diperkenalkan pada 1985, Proton Saga berpegang teguh pada DNA-nya sebagai kereta rakyat bentuk sedan yang paling mampu dimiliki rakyat negara ini. 

Sejak beberapa tahun, model ini telah berkembang dari segi rekabentuk ringkas dan bersegi kepada rekabentuk baharu yang lebih moden dan bersifat kontemporari. 

“Sejak pengenalan model pertama Saga 30 tahun lalu, kami telah mengharungi satu perjalanan jauh dalam sejarah pembuatan model ini. 

Pelbagai penambahbaikan, peningkatan dan penyempurnaan telah dilakukan dan kami percaya Saga baharu ini bakal menjadi daya tarikan, terutama buat mereka yang mahu membeli kereta baharu atau sebagai kereta kedua. Kami telah menghasilkan rekabentuk yang bergaya, praktikal, berciri keselamatan, mudah dan selesa bagi sebuah kereta sedan mampu milik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON, Dato‟ Ahmad Fuaad Kenali. 

Saga baharu ini didatangkan dalam 3 varian – Standard (MT & CVT), Executive dan Premium dengan harga bermula daripada RM36,800 hingga RM45,800 di Semenanjung Malaysia. Semua varian Saga baharu ini dilengkapi enjin VVT 1.3L, menggantikan enjin IAFM yang digunakan generasi terdahulu. 

Penggunaan teknologi VVT memberikan peningkatan prestasi yang ketara dari segi pecutan dan penggunaan bahan api. 

Enjin VVT baharu ini menawarkan penjimatan bahan api serendah 12 hingga 14 peratus dengan mencatatkan penggunaan petrol 5.4L/100km berbanding 6.0L/100km sebelum ini pada varian MT, dan 5.6L/100km berbanding 6.3L/100km sebelum ini pada varian CVT, apabila dipandu pada kelajuan 90km/j. 

Saga baharu ini juga dilengkapi ciri Bantuan Pemanduan Eco untuk membantu pemandu mengekalkan gaya pemanduan menjimatkan. 

Dari segi prestasi dinamik, enjin baharu ini mampu mencapai kelajuan lebih baik bagi pecutan 0 - 100km/j untuk varian MT, iaitu 12.2 saat (0.8 saat lebih pantas), manakala 13.1 saat (1.4 saat lebih pantas) bagi varian CVT. Pemilik Saga baharu turut berpeluang merasai suasana kabin lebih senyap kerana perubahan dilakukan pada 3-poin mounting enjin yang memberi kesan kepada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH). 

Saga baharu ini juga lebih panjang dan lebar, iaitu 4331mm atau 74mm lebih panjang, dan 1689mm atau 9mm lebih lebar, sekali gus menjadikan ruang kabin lebih selesa dengan tempat duduk belakang lebih luas. 

Ini memberikan keselesaan kabin lebih baik berbanding model terdahulu. Model ini turut direka dengan ruang bagasi lebih besar daripada 413L sebelum ini kepada 420L yang mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana dan dua bagasi bersaiz kecil. 

Sebagai sebuah kereta permulaan, Saga baharu juga menawarkan pelbagai penambahbaikan lain untuk keselesaan dan kesenangan pelanggan. Ia dilengkapi 2 pengecaj USB di belakang, radio/CD/MP3, Bluetooth, 10 ruang simpanan, 2 pemegang cawan, 4 pemegang botol, pelaras ketinggian tempat duduk pemandu, pelaras stereng dan tempat duduk belakang boleh lipat untuk semua varian. 

Dalam penggayaan pula, Saga baharu ini dilengkapi dua lampu kombi belakang dan lampu kabus belakang, manakala varian Executive dan Premium dilengkapi ciri-ciri lebih bergaya seperti spoiler dan rim aloi. 

Selaras penekanan PROTON mengenai keselamatan, Saga baharu telah meningkatkan ciri-ciri keselamatan yang melayakkan semua varian mendapat penarafan keselamatan 4-bintang ASEAN NCAP berbanding 3-bintang sebelumnya. 

Semua varian dilengkapi dua beg udara di hadapan, ISOFIX dan tambatan atas (top tether) serta sensor keliling. 

Bersama struktur badan lebih kukuh, Saga baharu ini mencatatkan peningkatan penarafan Perlindungan Penumpang Dewasa (Adult Occupant Protection, AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (Child Occupant Protection, COP). 

Sementara itu, varian Premium dan Executive menawarkan ciri-ciri keselamatan menyeluruh seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), dan Bantuan Brek (BA), manakala Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Traksi (TC), Bantuan Daki Cerun (HHA) dan kamera belakang boleh didapati dalam varian Premium. 

“Walaupun sebuah sedan tahap permulaan, Saga baharu mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia masa kini. Bersama kawalan dan pengendalian Proton yang tersendiri, ditambah pula keselesaan kabin yang dipertingkat, ia menjadi bukti bahawa model mampu milik ini tidak berkompromi dalam memberikan keseronokan pemanduan. 

Seperti model kami yang lain, jangan hanya mengambil kata-kata positif kami. Cuba sendiri memandu uji Saga baharu dan rasai perubahan yang telah dilakukan,” tambah Dato‟ Fuaad. 

Sehingga kini, lebih 2 juta Saga terjual seluruh dunia dan pelbagai anugerah dimenangi sepanjang tahun di Malaysia dan Great Britain. PROTON yakin bahawa Saga baharu ini akan terus membawa kejayaan seperti model terdahulu demi menyediakan kereta mampu milik buat pelanggan kami. Tempahan dan pandu uji Saga baharu kini dibuka di semua cawangan Proton Edar seluruh negara. 

Alamilah perubahan Proton Saga baharu – sedan mampu milik dengan nilai terbaik untuk wang. Kunjungi bilik pameran kami untuk sesi pandu uji. 

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi talian Khidmat Pelanggan PROTON di 1800-888-398 atau e-mel saja kepada kami di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh layari www.newsaga.proton.com atau laman Facebook rasmi kami di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. 

Lebih mudah lagi, pelanggan boleh terus memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton melalui Google Play dan Appstore. 

Mengenai PROTON PROTON, yang ditubuhkan pada tahun 1983, merupakan anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad dan syarikat pembuat kereta terbesar di Malaysia serta satu-satunya syarikat pengeluar kereta sepenuhnya di Asia Tenggara. 

Beroperasi di pasaran eksport utamanya termasuk Australia, Thailand, Indonesia dan Mesir, PROTON mengeluarkan kereta yang menepati pelbagai permintaan dan kehendak pengguna dan pembeli kenderaan. 

PROTON menawarkan pelbagai kenderaan termasuk kenderaan empat pintu yang versatil dan boleh dipercayai untuk kegunaan keluarga seperti Saga dan Persona, sedan eksekutif yang bergaya seperti Prevé dan kenderaan pelbagai guna yang luas dan mampu milik seperti Exora. Kereta „hatchback‟ yang berprestasi tinggi seperti Suprima S, model kereta kompak dengan reka bentuk „berani‟ dan bergaya seperti Iriz serta kereta „sport‟ terkenal dunia seperti Exige, Elise dan Evora daripada LOTUS. 

Paling penting, model-model kereta Proton dibangunkan dengan kejuruteraan LOTUS, yang menawarkan pelanggan pemanduan dan pengalaman pengendalian yang mantap dalam setiap pemanduan. 

Berperanan sebagai pemangkin kepada usaha pembangunan negara, PROTON kini telah berkembang pesat berkat keupayaannya menguasai teknologi canggih yang diraih hasil usahasama, perkongsian strategik dan pelbagai kerjasama teknikal. Sentiasa mendengar keperluan dan kehendak pelanggan, 

PROTON kini semakin bersedia untuk mencapai misinya di masa hadapan - untuk terus membangunkan kereta–keretanya dengan standard kualiti dan keselamatan yang tinggi, memberikan nilai yang lebih bagi setiap wang yang dibelanjakan serta memberikan kepuasan menyeluruh baik dari segi pemanduan mahupun dari segi pemilikan. Untuk makluman lanjut, layari http://www.proton.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan