Jumaat, 11 November 2016

Penolakan Terhadap Lim Guan Eng Semakin Meningkat





Sejak dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah, imej Lim Guan Eng semakin terjejas, bukan hanya di kalangan rakyat Malaysia, malah di dalam parti DAP sendiri.

Ini kerana tuduhan yang dihadapinya itu telah menyebabkan timbul krisis keyakinan terhadap diri dan pentadbirannya kerana ia melibatkan integriti beliau sendiri, yang sehingga kini masih memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, walaupun menerima desakan supaya meletak jawatan atau berundur daripada banyak pihak.

Penolakan terhadap beliau terutama dalam partinya, dapat dilihat jelas ketika konvensyen tahunan DAP yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Jumlah kehadiran yang merosot dan hambar pada konvensyen berkenaan iaitu sekitar 300 orang, merupakan yang terendah sejak 2008, iaitu tahun di mana DAP mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Daripada 1,027 delegasi yang sepatutnya menghadiri konvensyen berkenaan, hanya 328 yang hadir dan selepas rehat pada waktu tengahari, jumlah yang masih berada di dalam dewan semakin merosot dan hanya kira-kira 50 orang yang masih menunggu untuk sesi perbahasan.

Malah wartawan yang membuat liputan konvensyen berkenaan dapat merasakan bahawa `mood' perbahasan juga tidak sepanas yang diharapkan meskipun tahun depan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dijangka diadakan.

Malah perbahasan daripada perwakilan DAP dari Taman Chai Leng, Shamser Singh Thind, yang membidas pucuk pimpinan DAP kerana bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memperlihatkan akan keadaan sebenar yang berlaku dalam parti itu.

Shamser menyamakan Dr. Mahathir sebagai bapa ayam dan ular, yang lebih merbahaya daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semua tahu bahawa Shamser memang seorang yang lantang mengkritik malah tahun lepas, beliau telah mempersoalkan kenapa pengerusi DAP negeri tidak dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dan sejak itu, suara-suara yang mendesak supaya pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggantikan Guan Eng semakin kuat kedengaran di negeri berkenaan.

Bukan itu sahaja, prestasi buruk DAP pada pilihan raya negeri Sarawak serta kegagalan sokongan kepada Parti Amanah Negara (PAN) untuk menang pada dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar turut memberikan kesan.

Selain itu beberapa isu melibatkan Guan Eng termasuk skandal pembelian banglo di bawah harga pasaran, isu penjualan tanah di Taman Manggis, projek terowong yang bernilai RM305 juta serta kegagalan mengatasi masalah banjir di negeri berkenaan telah menyebabkan wujudkan tentangan dari dalaman parti itu sendiri.

Dalam isu banjir misalnya, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan aktivis masyarakat telah meluahkan pandangan dan memberi amaran bahawa banjir yang berlaku itu bukan disebabkan faktor taburan hujan lebat luar biasa semata-mata tetapi kerana kerakusan pembangunan yang sedang berlaku.

Namun ia tidak diendahkan malah kerajaan negeri menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional.

Isu-isu berkenaan juga dikatakan menyebabkan populariti DAP, yang mengetuai Pakatan Harapan, semakin merudum.

Ia juga jauh daripada prinsip kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti (CAT) yang diperjuangkan oleh pentadbiran Guan Eng di Pulau Pinang malah prinsip itu kini sinonim dengan skandal serta tadbir urus yang lemah.

Keadaan ini sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia tidak sepatutnya mempercayai parti yang tidak melaksanakan apa yang diperkatakan selama ini.


Sent from Samsung tablet.