Isnin, 17 Julai 2017

Bersatu Hendak Bertanding Di Kerusi Mana? Sanggupkah Parti Lain Dalam PH Korbankan Kerusi Mereka?


Memandangkan urusan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) hampir selesai dan segalanya nampak lancar, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) membangkitkan satu persoalan yang sebenarnya berlegar-legar dalam pemikiran ramai orang berkenaan kerusi yang akan ditandingi oleh pakatan itu.

Presidennya Ramesh Rao dalam satu kenyataan berkata pakatan itu perlu memberitahu di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang akan ditandingi oleh semua parti dalam PH khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Bersatu hendak bertanding di kerusi mana?" kata Ramesh dalam kenyataan itu.

Ketika ini, parti PPBM hanya ada satu kerusi wakil dalam Dewan Rakyat iaitu kerusi Parlimen Pagoh diwakili oleh Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PH sekarang ini ialah Mahathir dan biasanya jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Pengerusi atau ketua akan dilantik jadi Perdana Menteri. Bolehkah jika dalam parti hanya ada satu kerusi dalam Parlimen, dilantik jadi Perdana Menteri?

"Jika benar Mahathir dari Bersatu mahu dilantik jadi Perdana Menteri, Bersatu perlu menang majoriti kerusi di dalam pakatan.

"Adakah rundingan antara parti dalam pembangkang untuk mengagihkan kerusi akan memperuntukkan kerusi yang banyak utk Bersatu atau sebaliknya?

"Saya berminat mahu tahu adakah DAP, PKR dan PAN bersedia untuk berkorban kerusi yang ditandingi mereka dan diberikan kepada Bersatu yang dipimpin Mahathir?" kata Ramesh.

Baru-baru ini, PH mengumumkan logo dan barisan pemimpin dalam Majlis Presiden mereka menampakkan Mahathir dilantik sebagai Pengerusi manakala bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum PH dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden PH.

"Pemimpin seperti Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng bukan mudah memberikan kerusi yang ditandingi parti mereka kepada parti lain lebih-lebih lagi parti yang baru bertapak di negara ini seperti PPBM," katanya.


Ramesh Rao Krishnan Naidu
Presiden PMSP
17 Julai 2017