Isnin, 17 Julai 2017

PELANCARAN MRT SUNGAI BULOH KAJANG (SBK)



Tujuh bulan lepas iaitu pada 16 Disember 2016 di Stesen Kwasa Damansara, saya telah melancarkan fasa pertama MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang. Pada majlis tersebut, saya telah berjanji bahawa Kerajaan akan menyiapkan keseluruhan laluan MRT yang pertama di negara ini pada penghujung Julai 2017.

Hari ini, tanggal 17 Julai 2017, saya melancarkan operasi penuh MRT Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51 km yang akan menjadi “game-changer” dan membawa satu lonjakan berganda bagi warga ibu kota khususnya yang pasti akan merasa perubahan ketara dalam kehidupan harian mereka.

Pada tarikh bersejarah ini iaitu dua minggu sebelum tarikh akhir yang dijanjikan, saya berada di stesen bawah tanah MRT Tun Razak Exchange atau TRX yang tersergam indah yang dinamakan sempena ayahanda saya, untuk mengumumkan bahawa janji tersebut telah dapat disempurnakan. Bermula hari ini pada tepat jam 4.00 petang, kesemua 31 stesen bagi sistem rel yang paling moden dan terbaru di rantau ini akan membuka pintu kepada seluruh rakyat dan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.

Saya masih ingat saat dan ketika saya berbincang dengan beberapa pihak tidak lama setelah memulakan tugas sebagai Perdana Menteri. Ketika itu saya amat bimbang tentang kesesakan lalulintas yang semakin ketara dan berpanjangan. Saya berpendapat bahawa kita perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan Kuala Lumpur mengalami situasi sama seperti beberapa ibu kota negara yang lain yang sangat terkenal dengan situasi “traffic gridlock” yang dialami dengan teruk, kadangkala berlarutan sampai berbelas jam.

Maka dari situ lahirlah inisiatif projek MRT ini, dan alhamdulillah, setelah 7 tahun perjalanan pembinaan mercu tanda bersejarah ini, MRT Sungai Buloh – Kajang ini siap sepenuhnya hari ini.

Laluan SBK dengan panjang jajaran 51 km ini akan membawa penumpang dari Sungai Buloh ke pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan masa perjalanan lebih kurang 40 minit, atau langsung ke Kajang dalam masa 88 minit. Ia bakal menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cukup moden dan efisien kepada seramai 1.2 juta orang yang tinggal atau bekerja di kawasan-kawasan yang terletak di sepanjang jajaran.

Para penduduk di Sungai Buloh, Kota Damansara, Cheras, Kajang dan tempat-tempat di radius berhampiran akan mengalami pengalaman akses ke pusat bandar raya – di Bukit Bintang, Pasar Seni dan Cochrane – dengan begitu mudah hanya menggunakan perkhidmatan MRT ini. Tiada lagi situasi terperangkap dalam kesesakan lalulintas yang sudah begitu lama membelenggu warga ibu kota ini. Inilah matlamat kita sejak awal melakar perancangan projek bersejarah ini.

Laluan SBK berintegrasi dengan begitu sempurna atau “seamlessly” dengan LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan LRT Laluan Sri Petaling di Pasar Seni, Merdeka dan Maluri – di mana pengguna boleh bertukar dari MRT ke LRT atau sebaliknya tanpa perlu membeli tiket baru. Laluan SBK ini juga berintegrasi dengan perkhidmatan KTM Komuter dan KTM ETS di Sungai Buloh dan Kajang. Manakala dari Stesen MRT Muzium Negara, penumpang boleh berjalan kaki dengan menggunakan laluan pejalan kaki yang cukup selesa untuk sampai ke KL Sentral di mana mereka boleh menaiki KLIA Ekspres dan KLIA Transit untuk ke KLIA, Putrajaya dan stesen-stesen lain, di samping KTM dan LRT serta Monorel.

Selain tren, bas perantara MRT juga akan beroperasi dari stesen untuk memenuhi keperluan penumpang dari segi kesinambungan peringkat pertama dan terakhir perjalanan atau pun “first and last mile connectivity”.

Bagi mereka yang ingin membawa kereta, kesemua kemudahan tempat kereta “park and ride” juga akan dibuka pada masa yang sama. Ini akan membolehkan pengguna meletak kereta mereka dengan caj yang murah sekali dan menaiki tren MRT ke destinasi pilihan.

Mobiliti yang tidak terhalang merupakan satu elemen paling penting bukan sahaja untuk membuat sebuah bandar raya selesa untuk didiami, malah ia juga penting dalam aktiviti perniagaan dan ekonomi. Hanya dengan mobiliti yang lebih baik dari peningkatan jaringan rel bandar boleh menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar bertaraf dunia.

MRT adalah bukti titik peluh kerja keras bagi mereka yang telah merancang, mereka bentuk dan membina projek ini, terutamanya warga kerja MRT Corp yang telah berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen.

Tidak dilupakan juga Rakan Pelaksana Projek ataupun Project Delivery Partner projek ini, MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd; kontraktor pakej kerja seperti kontraktor kerja bawah tanah MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd yang telah melakarkan sejarah dunia dengan pembinaan terowong-terowong dan stesen bawah tanah dengan menggunakan teknologi yang canggih; subkontraktor; pembekal dan perunding-perunding yang terlibat, yang semunya telah bekerja dengan gigih untuk menyempurnakan pembinaan projek ini.

Turut memainkan peranan yang amat penting adalah kakitangan di agensi-agensi kerajaan, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang juga memainkan peranan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah MRT Corp. Mereka telah bekerja keras dalam menghasilkan kerjasama strategik dengan semua pihak yang terlibat demi menjayakan projek ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada mantan Ketua Setiausaha Negara YBhg Tan Sri Sidek Hassan, yang memainkan peranan penting di peringkat awal pelaksanaan projek ini.

Seperti semua projek mega yang lain, sudah pasti banyak cabaran yang terpaksa diharungi semasa projek ini dibangunkan. Akan tetapi, seperti yang dapat kita lihat hari ini, apabila adanya komitmen yang penuh dan kerjasama yang mantap dari semua pihak, dari pucuk pimpinan sehinggalah kepada tenaga-tenaga kerja di tapak projek, kita akhirnya berjaya mengatasi segala cabaran untuk menyiapkan projek ini.

Kerjasama yang baik ini bukan sahaja membolehkan kita membangunkan suatu infrastruktur yang begitu gah bahkan juga mampu membolehkan kita menyiapkannya dengan menepati masa dan ternyata, kurang daripada bajet yang ditetapkan.

Kos pembinaan asal bagi Laluan SBK telah disasarkan sebanyak RM23 bilion. Namun, kita telah dapat menyiapkannya dengan kos sebanyak RM21 bilion, iaitu dengan penjimatan sebanyak RM2 bilion. Syabas kepada pasukan Projek MRT atas pencapaian yang cukup membanggakan ini.

Hari ini, pembukaan laluan pertama MRT di negara ini sudah tentu bukan yang terakhir. Insya-Allah, ia akan menjadi permulaan kepada banyak lagi “Projek Infra Rakyat” yang akan terus memberikan manfaat kepada rakyat dengan menyediakan mod perjalanan yang moden, efisien dan selamat, bukan sahaja di Lembah Klang dan kawasan bandar yang lain, tetapi juga antara bandar-bandar malah antara bandar dan juga kawasan pedalaman.

Setakat ini, Kerajaan sudah memulakan pelaksanaan beberapa projek rel baru. Ini termasuk MRT laluan kedua ataupun MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia; Landasan Kereta Api Pantai Timur yang akan meliputi keseluruhan Pantai Timur Semenanjung Malaysia; dan juga Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (High Speed Rail). Infrastruktur sedia ada seperti laluan LRT dan KTM juga sentiasa dinaiktaraf dan diperbaiki.

Lebih banyak “Projek Infra Rakyat” sedang dipertimbangkan dan saya tahu di antara yang paling ditunggu-tunggu ialah MRT 3, yang lebih dikenali sebagai Laluan Lingkaran atau pun “Circle Line”, yang akan melengkapi capaian pengangkutan rel di kawasan-kawasan utama ibu kota dengan menghubungi semua jajaran-jaran rel yang sedia ada, sekaligus menjadikan pengangkutan awam di Kuala Lumpur “fully integrated”.

Insya-Allah Kerajaan akan meneliti kajian kebolehlaksanaan dan maklumbalas tentang laluan MRT 3 yang sedang dirancang ini. Dan butiran lebih lengkap akan kita umumkan setelah Kerajaan membuat keputusan kelak.

Sekali lagi, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus menyiapkan Laluan SBK untuk kemudahan rakyat Malaysia. Hari ini ternyata akan menjadi tarikh yang amat bersejarah buat kita semua.

Namun begitu, dalam kita berkongsi berita gembira tentang kejayaan kita menyempurnakan pembukaan laluan pertama MRT di negara kita ini, janganlah kita lupa kepada tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh tanggal 17 Julai 2014. Kita telah kehilangan seramai 43 orang rakyat Malaysia pada tarikh tersebut.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi ini. Rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama mahu pun afiliasi politik berdiri teguh di belakang anda semua.

Keutamaan kita kini adalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses undang-undang, dan pihak yang bertanggungjawab perlu di bawa ke muka pengadilan.

NAJIB RAZAK