Ahad, 10 Disember 2017

Chegubard : Laporan Skandal Tanah PKPS RM1.181 Billion Terkait Nama Azmin





Merujuk kepada dokumen-dokumen yang dilampirkan yang saya terima secara pos beberapa bulan lepas dari sumber tak dikenali berkenaan penjualan tanah di mukim Ijok yang melibatkan Kerajaan Negeri Selangor dan dua syarikat perumahan Mujur Zaman Sdn Bhd, dan LBCN Development. Berdasar maklumat yang diberi dalam dokumen tersebut, kami memohon agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan seperti berikut:

Bagaimana Eco World Group Development Berhad (Eco World) boleh membeli tanah seluas 2,198.4 ekar di Ijok, Kuala Selangor pada harga RM1.181billion daripada Mujur Zaman Sdn Bhd, dan LBCN Development Sdn Bhd. ?

Bagaimana Mujur Zaman dan LBCN boleh dibenarkan menjual tanah tersebut sedangkan tanah-tanah tersebut terlibat dengan perbalahan perundangan lama melibatkan ratusan peneroka asal yang masih menunggu pampasan yang telah dijanjikan ?

Mengapa Kerajaan Negeri Selangor memberhentikan usaha-usaha yang dimulakan oleh mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sejak tahun 2009 untuk memperjuangkan nasib ratusan peneroka asal ?

Bukankah tanah-tanah yang terlibat telah dirampas oleh kerajaan negeri daripada Mujur Zaman dan LBCN yang untuk dikembalikan kepada peneroka asal kerana gagal membangun tanah-tanah tersebut serta membayar pampasan seperti yang dijanjikan kepada peneroka asal. Mahkamah juga telah membuat keputusan berkaitan.

Mengapa Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran MB Selangor DS Azmin Ali memulangkan tanah yang telah dirampas kepada Mujur Zaman dan LBCN sedangkan kedua syarikat bukan sahaja gagal membangunkan tanah seperti yang dijanjikan tetapi juga masih belum membayar pampasan yang dijanjikan kepada peneroka.

Mengapa MB DS Azmin memulangkan tanah kepada Mujur Zaman dan LBCN, sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa “legal obligations” kepada kedua syarikat itu.

Tambah pula, Mujur Zaman dan LBCN telah gagal diperingkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mencabar keputusan rampasan tanah yang dibuat oleh mantan MB TS Khalid Ibrahim. Pertikaian sepatutnya diteruskan di Mahkamah Persekutuan tetapi mengapa secara tiba-tiba MB DS Azmin bersetuju untuk memasuki satu penyelesaian bersama dengan kedua syarikat.

Akibat dari perbuatan MB Azmin, kerajaan negeri Selangor memulihkan status tanah untuk kembalikan tanah balik kepada LBCN dan Mujur Zaman yang hanya perlu menarik balik rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syak yang kuat ada berlaku pertembungan kepentingan juga kerana dalam salah satu dokumen jelas menyatakan antara pihak berkepentingan dalam isu ini ialah Datuk Khairuddin Abu Hassan yang merupakan bekas ahli Umno yang dipecat dan menjadi sekutu kuat politik Tun Mahathir Mohammad yang menjadi Pengerusi Pakatan Pembangkang yang mana MB Selangor merupakan Pengarah Pilihanrayanya.

Secara kesimpulannya, SPRM perlulah menyiasat jika ada timbal balik yang terlibat diantara pihak-pihak yang terlibat baik dalam Kerajaan Negeri, anak syarikat kerajaan negeri dan kedua syarikat tersebut iaitu LBCN dan Mujur Zaman.

Melihat daripada laporan akhbar tentang harga jualan tanah-tanah yang terlibat.

Sekian, laporan saya ;

BADRUL HISHAM BIN SHAHARIN