Ahad, 17 Disember 2017

Tolak fitnah


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak akan membiarkan fenomena penyebaran berita palsu dan fitnah menerusi media sosial di negara ini dilakukan sewenang-sewenangnya atas alasan kebebasan bersuara.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan perlu diambil sebelum fenomena menyebar fitnah dan berita palsu berkenaan dianggap masyarakat sebagai perkara biasa atau lazim dalam kalangan rakyat negara ini.

"Kita tidak mahu apa yang sedang berlaku ini (penyebaran berita palsu dan fitnah) diterima kononnya sebagai kebebasan bersuara atas nama demokrasi. Memfitnah orang adalah suatu yang lazim, memburukkan orang adalah sesuatu perkara yang biasa…(dan) apabila (dapat buat seseorang itu marah) dianggap kejayaan.

"Apabila seseorang itu rasa dimalukan ia menjadi kebanggaan kepada mereka (pihak yang memalukan orang lain). Budaya ini semakin songsang. Perbuatan ini semboronoh. Jadi kita perlu ubah budaya itu," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad Zahid setakat September tahun ini, sebanyak 4,702 kes berkaitan isu fitnah, penyebaran berita palsu dan lain-lain kesalahan berkaitan media sosial telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 4003 kes sedang disiasat lanjut dan antara kes daripada jumlah yang disiasat lanjut itu, 60 kes berkaitan fitnah, 20 kes berita palsu dan 43 kes berkaitan dengan pemalsuan identiti.

Menurutnya, dari Januari hingga November tahun ini, pihak polis juga menerima 203 aduan berkaitan kesalahan media sosial dan tindakan sedang diambil terhadap laporan-laporan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mendedahkan bahawa Malaysia kini berada pada kedudukan keenam tertinggi di dunia dari segi penggunaan media sosial dengan kadar penggunaan 3.5 jam sehari bagi setiap individu dengan Argentina di tangga pertama.



Sent from Samsung tablet.