*11 Januari 2018 - Khamis*
*23 Rabiul Akhir 1439 Hijrah*
➡ *NASIONAL*
1. KUALA LUMPUR: Anak pesara kerajaan kini berpeluang untuk membeli rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. Katanya, keputusan itu membolehkan golongan anak pesara membeli rumah berharga lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 bagi perumahan 'landed' dan berstrata.
2. KUALA LUMPUR: Tiga ahli lembaga pengarah FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), yang dikatakan berkhidmat ketika urus niaga membabitkan tanah di Jalan Semarak berlaku, turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel di London dan Sarawak. Tiga pengarah terbabit ialah Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan Datuk Dr Omar Salim yang disoal siasat oleh SPRM pada Ogos tahun lalu mengenai pembelian hotel di London.
3. IPOH: Dianggarkan hanya 300 pemandu teksi di Perak mencarum PERKESO. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata jumlah itu terlalu sedikit berbanding 1,900 yang berdaftar sebagai pemandu teksi di negeri itu.
4. KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kadar tol di Malaysia dilihat bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang sebelum ini yang mahu memansuhkan lebuh raya bertol. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ia menunjukkan janji palsu yang dilaungkan oleh pakatan pembangkang sekiranya mengambil alih pentadbiran negara.
5. BALING: Lebih 30 tahun tragedi berdarah Memali berlalu, namun keperitan memendam memori pahit menyaksikan suami dibunuh, kekal terpahat dalam sanubari Solehah Husain, 65. Balu kepada Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya itu tidak pernah berhenti mengharapkan pembelaan atas kematian suaminya dan penduduk kampung, yang menjadi mangsa tragedi kejam dan dituduh sebagai pengganas yang mahu menumbangkan kerajaan.
6. KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif membendung kenaikan kos penginapan semasa musim haji apabila memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat di Madinah. Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata, menerusi perjanjian itu, ia bakal memberi kesan positif bukan sahaja kepada jemaah haji malah TH.
7. KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyangkal dakwaan kononnya projek infrastruktur negara yang memerlukan perbelanjaan tinggi bakal membebankan rakyat.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, projek seperti Transit Aliran Massa (MRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR), Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Pan Borneo berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
8. KUALA LUMPUR Harga runcit petrol RON95 dan RON97 turun 3 sen seliter manakala diesel kekal bagi tempoh 11 hingga 17 Januari. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), harga runcit petrol RON95 ditetapkan pada RM2.26 seliter manakala harga runcit petrol RON97 pada RM2.53.
➡ *POLITIK*
1. IPOH: Keputusan pakatan pembangkang untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah 'drama besar' dalam pakatan itu.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ia juga umpama melancarkan gerakan 'Reformasi 2.0' untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya berkenaan.
2. KUALA LUMPUR: Keputusan pembangkang mahu melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) hanya memberi ruang kepada rakyat melihat kepincangan yang wujud dalam pakatan itu. Bekas Setiausaha PKR Selangor, Nazmi Rosli, berkata keputusan itu menunjukkan kemungkinan pembangkang ketandusan pemimpin diangkat menjadi Perdana Menteri atau hanya mahu memperkudakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menarik sokongan pengundi Melayu.
3. KUALA LUMPUR: Resolusi pakatan pembangkang yang tidak menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri jelas menunjukkan parti berkenaan cuba meminggirkannya.
Penganalisis politik di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata ini kerana kecenderungan Muhyiddin menjalin kerjasama dengan PAS yang ditolak keras Tun Dr Mahathir Mohamad.
4. SHAH ALAM: Tiga parti komponen Pakatan Harapan di Selangor menyokong pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai perdana menteri jika mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti. Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, dalam satu kenyataan bersama, berkata mereka juga menyokong keputusan meletakkan Presiden Pakatan Harapan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.
➡ *EKONOMI*
1. KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan unit MY E.G. Services Bhd (MYEG), MY E.G. Alternative Payment Services Sdn Bhd (MYEG Alternative) menerbitkan wang elektronik menerusi iPayEasy e-wallet dengan had RM1,500 seorang pelanggan. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MYEG memaklumkan unit itu menerima surat kelulusan daripada BNM.
2. KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menjadi lapangan terbang pertama di dunia menggunakan teknologi termaju dan terkini bagi pengawasan dan keselamatan landasan.
KLIA, antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, dengan purata 32,000 pergerakan pesawat sebulan, akan dilengkapi sistem pengesan radio ke atas serpihan objek asing gentian (FOD).
3. KUALA LUMPUR: DIIZ Industries Sdn Bhd (DIIZ), syarikat pengeluaran produk baja menyasarkan meraih RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi pengedaran produknya ke tiga negara Asia Barat. Pengarah Urusannya, Izham Hakimi Hamdi, berkata, produk Spinox 8 keluaran pihaknya akan berada di pasaran Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada separuh kedua tahun ini.
➡ *AGAMA*
1. Dari Anas r.a : Nabi saw bersabda, "Kota Madinah haram (kota suci) dari batas situ ke situ. Pohonnya tidak boleh ditebang dan tidak boleh melakukan kejahatan di dalamnya. Barangsiapa melakukan kejahatan, ia akan mendapat kutuk(an) Allah, kutuk malaikat dan manusia seluruhnya."
➡ *LUAR NEGARA*
1. BEIRUT: Satu gempa bumi kecil berukuran magnitud 4.7 melanda barat Iran, petang semalam, kata laman web rasmi badan kehakiman Iran. Namun, tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda akibat gempa bumi yang berlaku berhampiran Kermanshah.
2. YANGON: Pasukan keselamatan Myanmar mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai 10 Rohingya, kata pejabat ketua tentera semalam. Pejabat itu juga buat kali pertama turut mengakui kewujudan kubur besar minoriti Islam di Rakhine.
3. PARIS: Sekumpulan lima perompak menyerbu Hotel Ritz di sini, semalam dan membawa lari barang kemas dianggarkan bernilai empat juta euro. Sumber polis berkata, tiga daripada ahli kumpulan itu berjaya ditahan di lokasi kejadian tetapi baki dua lagi anggotanya berjaya melarikan diri.
➡ *SUKAN*
1. LONDON: Chelsea mensia-siakan peluang untuk menguasai pertembungan separuh akhir Piala Liga menentang Arsenal apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 pada perlawanan pertama awal pagi tadi.
Skuad kendalian Antonio Conte mendominasi hampir keseluruhan permainan di Stamford Bridge - di mana sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan - tetapi tiada penyudah tajam yang mampu menjelmakan kemenangan.
2. SEREMBAN: Bekas pemain Negeri Sembilan, Sabree Mat Abu yakin dapat memberikan sumbangan lebih baik kepada pasukan baharunya Sarawak dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini. Sabree berkata, keyakinan itu bersandarkan pengalamannya beraksi dalam beberapa pasukan Liga Super sebelum ini termasuk Kedah dan PKNS FC.
3. LONDON: Romelu Lukaku sedang mendapatkan khidmat nasihat undang-undang berhubung dakwaan pemegang saham terbesar Everton, Farhad Moshiri yang mengatakan 'mesej voodoo' mempengaruhi keputusannya sehingga meninggalkan kelab itu pada musim panas lalu.
"Keputusan Romelu tidak ada hubung kait dengan voodoo," kata wakil Lukaku kepada BBC.
*_BIRO IT UMNO BUKIT GANTANG_*
"""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
*_"Jauhi Fitnah, Semak Sebelum Sebar (3S)"_*