Rabu, 10 Januari 2018

Najib lancar logo TH di bangunan penginapan jemaah haji



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan logo Tabung Haji (TH) untuk empat bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah.

TH dalam kenyataannya berkata peletakan logo rasmi tersebut adalah lanjutan daripada perjanjian pajakan hotel dengan syarikat Al-Rawda Investment For Real Estate Development & Project Management Ltd (Al-Rawda) bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Peletakan logo ini memberi pendedahan jenama TH kepada masyarakat antarabangsa yang mengenali TH sebagai sebuah daripada organisasi terbaik dalam pengurusan haji dan logo ini juga akan menjadi pengenalan serta memudahkan jemaah haji semasa menginap di hotel-hotel tersebut,” kata kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah dan Pengerusi Al-Rawda, Dr Mashhoor Ali Al Madodi.

Sementara itu, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam ucapannya berkata perjanjian pajakan jangka panjang yang dilakukan itu akan memberi kesan positif kepada TH kerana ia dapat membendung kenaikan kos penginapan daripada terus meningkat setiap tahun.

“Sejak penubuhannya lima dekad yang lalu, TH telah berjaya memenuhi objektif membantu dan menjaga kebajikan para jemaah haji dalam urusan menunaikan rukun Islam yang kelima”, katanya.

Pada majlis tersebut Najib yang turut melawat bilik penginapan yang akan digunakan pada musim haji tahun ini, berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang bakal disediakan TH kepada bakal jemaah haji Malaysia.

Perdana Menteri dalam lawatan kerja ke Arab Saudi bermula semalam hingga 12 Januari ini. - Bernama