Selasa, 9 Januari 2018

Tun M Bakal Perkenal Semula ‘Mahathirisme’ - Anak Mendiang Karpal Singh



1. Tindakan menamakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara oleh Pakatan Harapan (PH) terus dipertikaikan penyokong gabungan pakatan pembangkang itu.

2. Anak perempuan kepada mendiang pemimpin kanan DAP, Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo mempersoalkan kewajaran PH mengumumkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri jika gabungan pakatan pembangkang menang dalam PRU-14.

3. Sangeet Kaur berkata, langkah tersebut jelas menunjukkan bahawa pakatan pembangkang ketandusan calon lain untuk menjawat jawatan tersebut selain kekurangan strategi gabungan itu pada masa depan.

_"Dia (Dr. Mahathir) akan menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan memperkenalkan semula kelahiran *Mahathirisme*."_ 

4. Sementara itu, Sangeet Kaur juga mengatakan kononnya kerjasama dengan Dr. Mahathir hanya untuk memastikan perubahan berlaku di negara ini tidak lagi boleh diguna pakai, apatah lagi permohonan maaf Dr. Mahathir mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kesalahan lain yang dilakukan semasa menjadi Perdana Menteri juga tidak dilakukan dengan sepenuh hati.

_"Ini bukan mengenai pengampunan, ia adalah soal akauntabiliti kerana orang yang mempunyai kedudukan serta kuasa harus bertanggungjawab terhadap kedudukan mereka," katanya._

5. Sangeet Kaur turut mempersoalkan sikap pemimpin pakatan pembangkang yang seolah-olah berdiam diri seperti menerima permohonan maaf Dr. Mahathir itu.