Isnin, 16 April 2018

Kejayaan Malaysia Terima Unjuran Bank Dunia Bukti Ekonomi Semakin Pesat


1. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kejayaan Malaysia memperoleh penilaian semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4 kali dalam tempoh masa hanya setahun 4 bulan daripada Bank Dunia mencerminkan ekonomi negara berada dalam landasan baik dan semakin pesat.

2. Malah kejayaan itu disifatkan sebagai suatu pengiktirafan kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperoleh 4 unjuran dalam tempoh masa tersebut.

_"Sebagai sebuah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan saya, kita telah mengolah konsep serta falsafah pembangunan dan strategi dan perancangan yang teliti lagi jitu untuk membawa negara ke hadapan sehingga menjadi antara negara paling berjaya di dunia suatu hari nanti."_

_"Di antaranya, kejayaan menyiapkan projek Transit Aliran Massa (MRT) lebih awal dengan kos di bawah jumlah sebenar manakala pelaksanaan Projek Rel Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan meningkatkan kadar pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus,"_. 

3. Tegas Perdana Menteri lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya juga bukan hanya melihat kepada pertambahan hasil negara, tetapi bersikap menyeluruh apabila berpegang kepada prinsip dan falsafah berkongsi kekayaan negara dengan rakyat secara keseluruhannya. 

4. Sebagai contoh, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan merujuk kepada pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan sebanyak 100% selain menambah kategori penerima bantuan itu, selepas melihat pendapatan negara akan meningkat berikutan peningkatan harga minyak mentah.

5. Najib turut mengumumkan pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Persekutuan dari Bandar Pekan ke Kampung Sungai Miang di sini, sepanjang 14.7 kilometer (km) melibatkan peruntukan RM338 juta, daripada jumlah itu, RM25 juta adalah kos pengambilan tanah dan projek yang dilaksanakan oleh syarikat kontraktor Teras Sari Resources Sdn Bhd dijangka siap pada 28 Feb 2022.

6. Berdasarkan maklumat Kementerian Kerja Raya, projek itu melibatkan usaha menaik taraf jalan sedia ada daripada jalan tunggal 2 piawaian kepada jalan tunggal 2 hala sepanjang 1.7 km dari bandar Pekan ke persimpangan Tanjung Agas. Skop projek itu juga melibatkan pembinaan jalan berkembar 4 lorong sepanjang 13 km dari persimpangan Kampung Tanjung Agas ke Kampung Sungai Miang dan kerja menggantikan 3 jambatan.

7. Jambatan tersebut merentasi Sungai Habib Hasan sepanjang 30 meter, tali air Sungai Miang (108 meter) dan Sungai Air Tawar (70 meter selain membina 3 jejantas, pemasangan lampu jalan, menaik taraf persimpangan lampu isyarat di Kampung Tanjung Agas dan di persimpangan Industri Tanjung Agas. 

8. Pelaksanaan projek itu juga disifatkan selaras dengan perancangan pelan Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya (HNDP) dari Pekan, Pahang ke Kota Tinggi, Johor sejauh 240 km selain berupaya meningkatkan tahap sosioekonomi di kawasan tersebut.