Ahad, 15 April 2018

Kes Pertama Bawah Akta Antiberita Tidak Benar



1. Mesej viral mengatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan memberi bantuan di beberapa pasar raya, menjadi kes pertama disiasat polis mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah berkuatkuasa.

2. Mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan sehingga RM200 di Pontian dan beberapa daerah lain viral di media sosial, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut di beberapa pasar raya.

3. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pada jam 10 pagi kelmarin IPD Pontian menerima maklumat kehadiran orang ramai di pasar raya Econsave Pontian selepas mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan menjadi viral.

4. Hasil siasatan mendapati mesej itu adalah palsu dan penyebaran maklumat seumpama itu turut dikesan di beberapa lokasi lain di Johor.

5. Berikutan itu, *siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.*

6. *Seseorang itu juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan bersalah.*

7. Selain itu, polis Johor menjalankan *siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga 6 tahun.*

8. Jika kesalahan itu masih diteruskan selepas disabitkan bersalah, *seseorang itu boleh didenda sehingga RM3,000 selama kesalahan masih berlaku.*

9. Berikutan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita dan jangan mudah percaya apa yang diterima di media sosial.

10. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan menyebarkan laporan palsu, menyakitkan hati, jelik atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.